KUALA LUMPUR: Hampir setahun mendirikan rumah tangga, pasangan pelakon Sabri Yunus, 63, dan Angeline Tan, 57, tampil berkongsi cara menangani konflik sepanjang berkahwin.
Dilihat semakin bahagia, Sabri bagaimanapun menyatakan mereka sering tegur menegur dalam setiap perihal.
Malah, pengarah dan penerbit itu juga mengakui dia sering mencari masa yang sesuai untuk menegur isterinya sekiranya melakukan kesilapan.
“Kalau berlaku kesilapan, selalunya yang pertama saya biarkan dulu. Kemudian, saya cari masa yang sesuai untuk bagi tahu dia apa yang kesilapan dia buat itu tidak kena.
“Sebenarnya, kami saling tegur menegur. Bukan saya tegur dia sahaja, dia juga banyak tegur saya daripada saya tegur dia,” katanya.
Terbuka menerima setiap teguran, Angeline menganggap perkara itu juga suatu kebaikan untuk dirinya perbaiki setiap kelemahan yang ada.
“Betul, dia selalu macam tu. Bila dia tegur, saya terima sebab dia adalah orang yang paling dekat dengan saya dan tegurannya itu semua untuk kebaikan saya. Untuk perbetulkan kesilapan saya dan kelemahan saya,” jelasnya.
Sementara itu, aktres sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu tersebut turut menyatakan setakat ini dia sentiasa menerima setiap perkara yang dilakukan oleh suaminya itu dengan seadanya.
“Saya tak nampaklah apa yang saya tidak suka pada dia. Semua pada dia saya suka,” ujar Angeline.
Sebelum ini, timbul dakwaan yang menyatakan pasangan tersebut bakal menimang cahaya mata.
Namun, Angeline tampil menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan bahawa dirinya tidak hamil.
Untuk info, Sabri dan Angeline telah mendirikan rumah tangga dalam sebuah majlis tertutup pada 13 Oktober tahun lalu.
Sabri bagaimanapun mempunyai tiga cahaya mata hasil perkahwinannya bersama arwah isterinya, Norraya Mohd Yusuf yang meninggal akibat kanser pada 2007.-UTUSAN