Dharma Harun Al-Rashid intai penyelesaian terbaik dengan TV AlHijrah - Utusan Malaysia

Dharma Harun Al-Rashid intai penyelesaian terbaik dengan TV AlHijrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Dharma Harun Al-Rashid, 67, menyatakan kesediaan untuk berbincang secara baik dengan pihak TV AlHijrah berhubung isu membabitkan program Deko Ibadah yang sebelum ini ditayangkan menerusi stesen penyiaran tersebut.

Menurut Dharma, dia terbuka dan amat mengalu-alukan jalan penyelesaian terbaik yang boleh dicapai kedua pihak mengenai isu tersebut.

“Saya akan hubungi mereka. Bagi saya masa. Tunggu bila kesihatan saya membenarkan.

“Saya akan jumpa mereka dan bincangkan tentang perkara ini secara baik. Mungkin saya jual program itu dengan harga RM100,000 pun tak mengapa. Asalkan ia terjual.

“Dan kemudian saya mahu hasilkan Deko Ibadah 2 pula. Saya jual kepada stesen TV lain sekiranya TV AlHijrah tak berminat beli. Oasis contohnya,” katanya.

Dharma berkata demikian ketika ditemui pada majlis kesyukuran filem Sheriff: Narko Integriti yang diadakan di ibu negara baru-baru ini.

Terdahulu, Dharma menagih TV AlHijrah melunaskan bayaran berjumlah RM312,000 selepas program berkenaan ditayangkan di stesen terbabit sebelum ini.

Dakwa Dharma, jumlah berkenaan dipersetujui dia yang juga pemilik syarikat WWS Studio dengan TV AlHijrah menerusi kontrak yang dikatakan telah ditandatangani kedua pihak sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris yang memberi respons mengenai dakwaan itu memaklumkan stesen TV berkenaan, seperti yang dinyatakan dalam kontrak, cuma sebagai penyiar program itu.

Katanya, jumlah sebanyak RM312,000 yang dituntut Dharma adalah geran dana Finas yang diperoleh syarikat produksi pelakon itu untuk menyiapkan pembikinan program Deko Ibadah.

Mengulas mengenai perkara itu, Dharma menegaskan sepatutnya TV AlHijrah membeli program terbabit selepas bersetuju dengan salah satu klausa yang dinyatakan dalam kontrak berkenaan.

“Saya pun tak faham. Pihak TV AlHijrah yang sediakan kontrak, ditandatangani kedua-dua pihak yang bersetuju dengan klausa yang menyatakan sekiranya saya nak jual program itu, keutamaan harus diberi kepada stesen TV tersebut dan mereka akan membelinya dengan nilai RM312,000. Jadi nak cakap macam mana lagi?

“Tapi, apabila berjumpa dengan pihak TV AlHijrah, mereka kata pula klausa itu hanya terpakai sekiranya mereka mahu membeli program berkenaan.

“Saya hairan. Apa maksud keutamaan seperti dinyatakan dalam kontrak. Bermakna, kalau saya bercadang mahu jual program itu kepada TV AlHijrah, mereka kenalah beli. Keutamaan diberi kepada mereka, sebab itu saya tawarkan program ini kepada stesen berkenaan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN