Dedah kanak-kanak isu jalan raya

Dedah kanak-kanak isu jalan raya

ABD. Mutalib Abd. Gapar (tengah) bersama tetamu kenamaan bergambar bersama peserta Program Didik Keselamatan Jalan Raya anjuran Institut Penyelididikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dengan kerjasama Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Industri Malaysia (MiSHA) serta Gadang Engineering (M) Sdn. Bhd. di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail (2), Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Golongan kanak-kanak perlu didedahkan dengan isu-isu keselamatan jalan raya bagi melahirkan generasi baharu pengguna yang mengamalkan budaya selamat dan berhati-hati ketika berada di kawasan itu.

Sehubungan itu, Institut Penyelididikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dengan kerjasama Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Industri Malaysia (MiSHA) bersama wakil industri Gadang Engineering (M) Sdn. Bhd. menjalankan Program Didik Keselamatan Jalan Raya di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail (2), di sini semalam.

Pengarah program, Ts. Abd. Mutalib Abd. Gapar berkata, Program Didik Keselamatan Jalan Raya adalah satu inisiatif jangka panjang yang dimulakan dari peringkat kanak-kanak bertujuan melahirkan generasi baru pengguna jalan raya yang mengamalkan budaya selamat, beradab, berhemah dan berhati-hati ketika berada di jalan raya.

“Usaha membentuk generasi pengguna jalan raya yang berhemah ini dapat memberikan sumbangan positif kepada keharmonian, kemakmuran dan pembangunan negara,“ katanya pada program itu.

Turut hadir ialah Pengarah Pusat Kejuruteraan Keselamatan Jalan Raya dan Persekitaran MiROS, Dr. Rizati Hamidun dan Presiden MiSHA, Aziz Basiran.

Seramai 132 murid tahun enam yang terlibat dengan program itu didedahkan dengan pembelajaran sambil bermain yang diterapkan dalam aktiviti Ekplorasi Keselamatan Jalan Raya.

Pasukan ProChild (Pro-C) MIROS telah menyediakan enam checkpoint’ yang memberikan penerangan lanjut berhubung keselamatan pejalan kaki, pembonceng motosikal, dan penumpang kereta.

Selain itu, sesi ceramah keselamatan jalan raya turut diberikan kepada murid tahun lima dengan menjurus kepada kepentingan keselamatan jalan raya dan cara melintas yang selamat.

Abd. Mutalib berkata, MIROS dan MiSHA sentiasa mengalu-alukan kerjasama bersama dengan pihak luar dalam membantu meningkatkan keselamatan jalan raya di negara ini.

“Kerjasama bersama pihak industri seperti Gadang Engineering (M) Sdn. Bhd. ini menunjukkan sinergi dan komitmen rakyat Malaysia dalam keselamatan jalan raya dan seharusnya diberikan pujian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN