Datuk Zulhelmy dilantik Panglima Tentera Laut ke-19

Datuk Zulhelmy dilantik Panglima Tentera Laut ke-19

MOHAMED Khaled Nordin (tengah) dan Mohammad Ab. Rahman ketika memakaikan pangkat Laksamana kepada Zulhelmy Ithnain pada Majlis Pemakaian Pangkat Panglima Tentera Laut ke-19, di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemangku Panglima Tentera Laut (TLDM), Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain secara rasmi memegang jawatan Panglima Tentera Laut ke-19 selepas dinaikkan pangkat Laksamana.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan itu bagi menggantikan Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob yang bersara pada 2 Disember ini.

Pemakaian pangkat tersebut disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab. Rahman dalam satu Majlis Pemakaian Pangkat Panglima Tentera Laut ke-19, hari ini.

Turut hadir  barisan Pengurusan Tertinggi Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Zulhelmy dilahirkan pada 2 Januari 1968 di Dato’ Keramat, Kuala Lumpur.

Beliau  menerima pendidikan menengah di Maktab Tentera Diraja (MTD) bermula pada 1981 hingga 1985 dan memulakan karier dalam perkhidmatan TLDM dengan mengikuti latihan sebagai Pegawai Kadet pada 1986 seterusnya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam cawangan Eksekutif dua tahun kemudian.

Kerjaya beliau sebagai seorang Submariner bermula pada 1993 apabila memperolehi lencana kepakaran kapal selam setelah menamatkan latihan kapal selam di HMAS Platypus, Australia.

Laksamana Datuk Zulhelmy seterusnya telah menamatkan Kursus Kapal Selam di Brest, Perancis dan dianugerahkan Sijil Kelayakan Pegawai Memerintah Kapal Selam jenis Agosta dan turut mencipta sejarah apabila beliau berjaya membawa pulang Kapal Selam Pertama Malaysia KD TUNKU ABDUL RAHMAN dari Perancis yang mengambil masa dua bulan.

Antara jawatan penting yang pernah disandang belia sepanjang perkhidmatan adalah Panglima Angkatan Kapal Selam, Asisten Ketua Staf Pembangunan (J5) Markas Angkatan Bersama, Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan Markas Tentera Laut,

Panglima Wilayah Laut 1, Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Timbalan Panglima Tentera Laut seterusnya memegang jawatan Pemangku Panglima Tentera Laut pada 1 Ogos 2024.

Laksamana Datuk Zulhelmy juga merupakan pemegang Ijazah Sarjana National Security Administration yang mana beliau turut menerima The Outstanding Alumni Award dari National Defence College of the Philippines. Beliau juga merupakan alumni United States Naval War College, Rhode Island dan Royal College of Defence Studies, United Kingdom. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya