KUALA LUMPUR: Seorang ejen unit amanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan memperdaya Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) untuk memasuki Perjanjian Pelaburan, tujuh tahun lalu.
Mengikut pertuduhan pertama, Datuk Ahmad Azwan Aboo Mansoor, 54, didakwa memperdaya LPSVN sehingga menyerahkan sekeping cek CIMB Bank berjumlah RM100 juta yang mana organisasi berkenaan tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di LPSVN, Jalan Temerloh, Off Jalan Tun Razak, Wangsa Maju pada 10 Jun 2014.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseskaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi empat lagi pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curangnya menggunakan sebagai tulen satu dokumen CIMB Islamic Dali Equity Theme Fund bertarikh 7 Jun dan 29 Julai 2017, serta 21 Mei 2018 dan dokumen pengesahan pembayaran zakat bertarikh 8 Disember 2017 yang diketahui tertuduh sebagai palsu.
Semua perbuatan itu dilakukan di lokasi yang sama pada 9 Jun 2017, 28 Julai 2017, 8 Disember 2017 dan 22 Mei 2018.
Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum Seksyen 465 Kanun yang sama yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Nourfauzani Mohd. Nordin mencadangkan jaminan RM100,000 bagi kesemua pertuduhan.
Peguam bela, Harjinder Singh Sandhu yang mewakili Ahmad Azwan bagaimanapun memohon ikat jamin RM12,000 dikenakan ke atas anak guamnya dengan alasan anak guamnya sudah diisytiharkan muflis dan kini terhimpit dengan keadaan hidupnya.
“Anak guam saya menghidap sakit darah tinggi dan isterinya menghidap kanser. Tertuduh diperlukan di rumah bagi membantu isterinya dalam keadaan genting.
“Harta anak guam iaitu satu rumah sedang dalam proses dilelong, jumlah yang diminta pendakwaan terlalu tinggi dan tertuduh boleh dipenjarakan sementara menanti kes ini,” katanya.
Hakim Hamidah Mohamed Deril menetapkan jaminan RM50,000 bagi kesemua pertuduhan dan 21 Oktober ini bagi sebutan semula kes. – UTUSAN