KUALA LUMPUR : Susulan terlerainya ikatan suami isteri antara Syamsul Yusof dan Ira Kazar, ibu kepada penerbit dan pengarah berkenaan sempat meluahkan isi hatinya menerusi satu hantaran di Instagram Story (Igs) hari ini.
Menerusi hantaran tersebut, Datin Patimah Ismail mengakui turut bersedih dengan nasib yang menimpa rumah tangga Syamsul.
Bagaimanapun, sebagai ibu, dia tetap mendoakan anaknya itu meskipun sekadar dari jauh.
“Sejujurnya, mengalir air mataku melihat anakku mengharungi takdir hidupnya seorang.
“Namun, doaku sentiasa mengiringi perjalanan hidupmu agar dipermudahkan segala urusan,” tulisnya.
Terdahulu, pada pagi tadi, Syamsul sah bercerai talak satu dengan bekas isterinya itu selepas Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor memutuskan lafaz cerai taklik yang dibuat di luar mahkamah adalah sah.
Untuk rekod, Syamsul dan Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin berkahwin pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand.
Perkara itu disahkan oleh Syamsul menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam Instagram pada Januari tahun lalu.
Syamsul juga sebelum ini pernah berkahwin dengan Puteri Sarah pada 8 Mac 2014 dan bercerai pada 14 Jun tahun lalu.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 7, dan Sumayyah, 5.-UTUSAN