Dari Nenggiri ke Mahkota, Amanah azam bantu kemenangan BN - Utusan Malaysia

Dari Nenggiri ke Mahkota, Amanah azam bantu kemenangan BN

MAHFUZ OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Parti Amanah Negara (Amanah) memberi jaminan menyokong sepenuhnya calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota bagi memastikan gelombang kejayaan di Nenggiri dapat diteruskan.

Menurut Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar, beliau sendiri telah diberikan amanah sebagai Pengarah Jawatankuasa Induk Amanah yang bertanggungjawab untuk menyelaras jentera parti itu dari seluruh negara bagi berkempen di situ.

“Sebagaimana kita bekerja di Nenggiri, begitu jugalah kita akan berkempen di Mahkota untuk pastikan kemenangan calon BN. Kami akan berhabis-habisan untuk memastikan calon muda dari BN itu mencapai kejayaan lebih besar di Mahkota.

“Kita mahu pastikan pengundi di Mahkota dapat menghalang elemen politik ‘mendajalkan’ orang daripada masuk ke Johor. Tak patut langsung untuk kita terima pihak-pihak yang mendajalkan orang lain, semata-mata kerana tak bersama mereka,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Ladang Udang Kara Air Tawar Arbaah di Kampung Durian di sini, hari ini.

Kelmarin, BN mengumumkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

Dalam perkembangan lain, Mahfuz menempelak kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa kerajaan bertindak rakus menyekat kebebasan mereka untuk menyuarakan hak orang Melayu, Bumiputera serta kedudukan Islam yang dijamin Perlembagaan.

Menurut beliau, sekiranya benar tiada kebebasan untuk bersuara seperti didakwa Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, parti tersebut sendiri sudah tentu akan diharamkan.

“Ini masalahnya dengan mereka tak habis-habis timbulkan isu kononnya Islam terancam. Setiap kali menjelang pilihan raya, maka timbullah isu ini seakan tiada kesudahan.

“Hakikatnya mereka ketandusan isu ketika kerajaan semakin membaiki ekonomi dengan kemasukan pelabur antarabangsa. Kita juga menerima pelbagai pujian dari luar negara dan disebabkan terdesak, maka timbullah dakwaan-dakwaan sebegini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN