Dana RM17.5 juta mantapkan sektor filem, muzik negara

Dana RM17.5 juta mantapkan sektor filem, muzik negara

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Komunikasi menawarkan Dana Kandungan Kreatif (DKK) Sektor Filem dan Industri Muzik dengan peruntukan  RM17.5 juta kepada penggiat industri kreatif negara. 

Menurut Kementerian Komunikasi, pengumuman itu dibuat Menterinya, Fahmi Fadzil sempena Sesi Sembang Santai bersama Penggiat Industri Kreatif Negeri Sabah dan Sarawak di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Sabah hari ini. 

“Empat kategori DKK Sektor Filem melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang ditawarkan termasuklah Dana Pembangunan Skrip, Dana First Time Amateur Film Maker, Dana Co-Pro Filem Cereka dan Dokumentari serta Dana Dokumentari bermula pada 16 September. 

“Empat kategori DKK Industri Muzik melalui Kumpulan MyCreative Ventures (MyCV) pula telah dibuka pada 26 Julai hingga 30 September melibatkan Dana Muzik Malayseana (Dana Cipta Karya), Dana Irama Perpaduan (Dana Cipta Karya), Dana Gig MADANI (Dana Persembahan Muzik) dan Dana Kandungan Aneka Muzik Interaktif (KAMI). 

“Sementara itu, dua lagi kategori DKK Industri Muzik iaitu Dana Permata Muzik Negara dan Dana Pemasaran dan Promosi Antarabangsa dibuka sepanjang 2024 kepada penggiat industri yang memenuhi kriteria yang ditetapkan,” kata kenyataan itu. 

Jelas kenyataan itu, permohonan DKK Sektor Filem dibuka secara dalam talian melalui pautan https://sppik.finas.my/ menerusi Sistem Pengurusan dan Pemantauan Industri Kreatif (SPPIK). 

Katanya, permohonan DKK Industri Muzik pula adalah melalui laman sesawang www.mycreative.com.my/grants kepada penggiat industri kreatif yang berkelayakan. 

“Selain membangunkan modal insan yang kompetitif dan setanding di persada tempatan serta global, DKK mampu mewujudkan industri kreatif yang berdaya saing untuk menghasilkan impak ekonomi yang positif.

“Penerima akan dipilih berdasarkan merit dan kebolehlaksanaan permohonan, selain kebolehpasaran yang mampu mengembangkan ekosistem industri kreatif negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN