Dalang utama sindiket ‘counter setting’ berpengaruh

Dalang utama sindiket ‘counter setting’ berpengaruh, dijangka dituduh awal Oktober ini

AZAM Baki pada sidang akhbar khas di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang pegawai imigresen yang disyaki ‘berpengaruh’ dalam sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi ‘counter setting’ dijangka dituduh di mahkamah pada awal Oktober ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki turut mengesahkan bahawa pegawai berusia awal 40-an itu merupakan dalang utama dalam sindiket berkenaan.

Menurut beliau, pegawai terbabit berjaya diberkas SPRM pada 5 September lalu selepas dipercayai melarikan diri sebaik sahaja operasi siasatan kes itu bermula.

“Yang ini kita perlu siapkan dahulu siasatan, tapi saya jangka berkemungkinan pada minggu pertama bulan Oktober kita cadangkan pertuduhan mereka dahulu,” katanya menerusi sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

SPRM sebelum ini membongkar kegiatan sindiket membawa masuk warga asing termasuk dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan dan Nepal melalui pintu masuk negara tanpa pemeriksaan pihak berkuasa.

Sindiket berkenaan disyaki didalangi beberapa penguat kuasa sebuah agensi yang bertugas di pintu masuk negara dengan menjadi tali barut bagi melepaskan kumpulan warga asing tiba tanpa melalui prosedur ditetapkan, menerusi modus operandi ‘counter setting’.

Mengulas lanjut, Azam berkata, berdasarkan siasatan yang dijalankan, dalang terbabit didapati telah berkhidmat dalam agensi penguatkuasaan berkenaan kira-kira 20 tahun.

“Itu yang salah seorang yang kita tangkap (dalang utama), dia mengawal lebih kurang dalam 50 pegawai sebab dia yang berpengaruh, dia ‘focal person’ untuk menjadi perantara terhadap hampir semua pegawai imigresen supaya melaksanakan apa yang diarahkan oleh beliau.

“Kalau tak silap saya dia sudah bertugas lebih kurang 20 tahun. Dia pernah bertugas di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), sekarang masih lagi di KLIA dan dia mempunyai pengaruh yang kuat dalam kalangan hampir semua (pegawai dan anggota),” ujarnya.

Ketika ditanya sama ada terdapat kemungkinan sindiket terbabit mempunyai kaitan dengan pegawai atasan, Azam memaklumkan bahawa pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut dan beliau masih belum boleh memberikan jawapan tepat mengenai perkara tersebut.

“Saya belum boleh memberi jawapan yang tepat tetapi kita sedang menyiasat dan pihak kita tidak akan mengira sama ada pegawai kanan yang lebih atas sekiranya mereka terlibat dan keterangan-keterangan sedang dikumpul,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN