KUALA LUMPUR: “Muzik tidak semestinya melambangkan peribadi kita.”
Demikian respons pelakon, Taiyuddin Bakar mengenai pandangan segelintir pihak yang beranggapan penglibatannya selaku vokalis kumpulan underground, Uncure, tidak selari dengan imejnya yang juga seorang jemaah Tabligh.
Kata Taiyuddin, muzik, dalam genre apa sekalipun, boleh dimanfaatkan sebagai wadah untuk menyampaikan kebaikan.
“Sebenarnya, banyak lagu yang muziknya agak keras tetapi mesej tentang keberanian dan kesatuan.
“Siapa pun kita, dakwah tetap menjadi matlamat hidup. Walaupun semudah sebarkan salam. Kita tak mahu masyarakat terus berpandangan, kalau nak berdakwah, kena memakai jubah.
“Pada saya seorang pengamal budaya Skinhead yang menyebarkan dakwah, lebih baik daripada Skinhead yang tidak berdakwah.
“Kita ini umat Nabi Muhammad, umat dakwah yang mengajak manusia lain kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Jadi saya tak bersetuju kalau ada yang berpandangan sebagai Tabligh, saya tak sesuai nyanyi lagu punk,” katanya.
Taiyuddin, yang sebelum ini terkenal tagline ‘Apa Celop’, kini menganggotai kumpulan Uncure bersama Anaz (gitar), Macik (dram) dan Hakim (bass).
Kumpulan itu pada 14 September lepas selesai menjayakan showcase Uncure: Palestin Hak Yang Dinafikan, yang mana kesemua hasil jualan tiket showcase tersebut disumbangkan kepada Kedutaan Palestin di Malaysia.
Mengulas mengenai pembabitan bersama Uncure, Taiyuddin, yang dahulu pernah bergelar penyanyi sebuah kumpulan underground memberitahu mula menyertai kumpulan itu sekitar penghujung tahun lepas.
“Semuanya bermula ketika saya menghadiri persembahan terakhir mereka sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Saya, ketika itu diundang naik ke pentas untuk menyanyikan sebuah lagu bersama band tersebut.
“Ramai memberi reaksi positif sebaik sahaja saya muat naik rakaman persembahan itu di media sosial.
“Pada penghujung tahun lepas, saya ditawarkan menjadi vokalis mereka,” kongsinya.