Dakwaan GISB laku eksploitasi kanak-kanak, ajaran sesat masih disiasat

Dakwaan GISB laku eksploitasi kanak-kanak, ajaran sesat masih disiasat

Tan Sri Razarudin Husain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis masih menjalankan siasatan berhubung dakwaan Global Ikhwan Sdn. Bhd. (GISB) terpalit dengan isu berkaitan agama dan eksploitasi kanak-kanak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.

“Buat masa ini, hanya empat laporan diterima di seluruh negara. Siasatan masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Sabtu lalu, PDRM mengesahkan terdapat empat laporan di Selangor bahawa syarikat tersebut dikenal pasti antara lapan dalam pemantauan pihak Cawangan Khas (SB).

Kata beliau, polis kini menjalankan pemantauan terhadap organisasi tersebut susulan empat laporan polis di Selangor di bawah Seksyen 32 (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Laporan tersebut dipercayai berkaitan eksploitasi kanak-kanak untuk pungut dana, derma dan sebagainya, mungkin ada lain (laporan) yang sedang dikumpulkan,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam malaysia (Jakim) diarahkan mengadakan pertemuan dengan pihak GISB susulan isu yang terkait dengan syarikat berkenaan kerana disyaki terlibat dalam eksploitasi kanak-kanak dan ajaran sesat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dilaporkan berkata, pertemuan itu bagi mendapatkan maklum balas serta penjelasan daripada pihak terbabit.

Pada masa sama, kata beliau, Jakim akan memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri dalam melakukan siasatan kepada isu yang dikaitkan dengan pihak tersebut.

Ia susulan pelbagai dakwaan terpalit dengan syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan ajaran sesat al-Arqam dan Rufaqa yang antaranya mengeksploitasi agama dan kanak-kanak untuk meminta derma serta menjalankan perniagaan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN