KUALA TERENGGANU: Sebuah jawatankuasa siasatan bebas ditubuhkan untuk melakukan siasatan berhubung dakwaan bayi yang baru dilahirkan meninggal dunia akibat kecuaian kakitangan wad bersalin di Hospital Dungun, dekat sini, baru-baru ini.
Dakwaan tersebut tular di media sosial selepas seorang pengguna membuat pendedahan mengenai kejadian itu di aplikasi X pada 17 September lalu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong berkata, siasatan awal mendapati adik pengadu tersebut telah dimasukkan ke wad bersalin Hospital Dungun pada 16 September lalu dan selamat melahirkan bayi secara normal pada 5.08 pagi.
Menurutnya, bayi yang dilahirkan tersebut didapati mengalami masalah pernafasan dan telah diberi rawatan awal untuk distabilkan.
“Seterusnya, bayi itu dihantar ke Hospital Kemaman pada pukul 7.45 pagi untuk rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).
“Bagaimanapun, bayi tersebut tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia selepas 40 jam menjalani rawatan di unit berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Kasemani berkata, JKNT masih melakukan siasatan untuk mengetahui punca kematian dan akan memastikan ia dijalankan.
“JKNT memandang serius perkara-perkara yang diutarakan oleh pengadu dan telah menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Bebas bagi menyiasat isu itu dengan serius.
“Malah kami juga akan mengambil tindakan penambahbaikan yang sesuai atas setiap aduan yang dikemukakan,” katanya.
Terdahulu, pengguna akaun X tersebut meluahkan rasa kecewanya apabila anak saudaranya yang baru lahir dua hari meninggal dunia yang didakwa berlaku akibat kecuaian.
Hantaran tersebut mendapat pelbagai komen netizen termasuk yang menceritakan semula pengalaman mereka ketika mendapatkan rawatan di hospital tersebut sebelum ini. – UTUSAN
KASEMANI EMBONG