PETALING JAYA: Meskipun melalui fasa gelap setelah menjalani hukuman penjara selama 21 hari, pendakwah selebriti Da’i Syed mendedahkan dia sempat berkongsi ilmu sepanjang tempoh itu.
Menurut Syed atau nama penuhnya, Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful, 29, dia mengambil kesempatan yang ada untuk berkongsi ilmu kepada banduan yang lain
“Saya bersyukur berpeluang untuk berdakwah dalam penjara, ajar orang mengaji dan sambut Maulidur Rasul. Mengenalkan kepada banduan tentang nabi dan rasul.
“Jadi, ada kesempatan untuk memberi manfaat dan ilmu di dalam penjara. Memang pengalaman yang sangat berbeza,” katanya.
Syed yang hadir dengan penampilan botak bagaimanapun meluahkan dia tidak sempat menunaikan hasratnya mencukur rambut anak perempuannya, Sharifah Fatma Nour Jamalullail yang ketika itu baru berusia 16 hari sebelum dijatuhkan hukuman.
Malah, dia menyifatkan hukuman yang dijalani itu merupakan pengalaman yang pahit sekali gus mengubah kehidupannya.
“Pada Jumaat itu, saya berniat nak cukur rambut anak saya. Ketika itu dia baru berusia 16 hari . Tetapi takdir rambut saya yang dicukur petang itu. Allah sebaik-baik perancang. Masuk penjara merupakan pengalaman yang sangat pahit. Gelap hidup saya pada saat itu,” jelasnya.
Syed turut meluahkan rasa bersyukur kerana dia menerima layanan yang baik sepanjang berada dalam penjara.
“Alhamdulillah kesihatan saya sepanjang dalam penjara baik. Saya makan pun cukup. Cuma hari ini saya tak sihat sebab demam dan ada ulser dalam mulut,” katanya.
Mengakui hukuman yang menimpanya itu menjejaskan reputasi dan kariernya, Da’i Syed tidak berputus asa mahu membina semula kerjayanya dari awal.
“Saya akan cuba bangunkan semula kerjaya saya dan lakukan apa yang boleh untuk menyara keluarga,” ujarnya ringkas.
Sementara itu, isterinya, Hana yang turut hadir pada sesi hari ini menzahirkan rasa syukur kerana suaminya sudah kembali ke pangkuan keluarga.
“Alhamdulillah, saya lega. Syukur, sebenarnya manusia ini hanya diberi pinjaman masa. Jadi, saya mahu menggunakan peluang yang ada untuk meluangkan masa sebaik mungkin bersama suami dan anak,” jelasnya.
Malah, personaliti televisyen itu juga menganggap segala urusannya sepanjang menjaga anak sendirian, dipermudahkan dan mendapat sokongan ramai.
“Alhamdulillah, Allah Maha Baik. Sebenarnya tak semua orang begitu (mengecam). Ramai juga orang di luar sana yang baik-baik dan prihatin dengan kami.
“Mungkin pada mereka kami tidak layak untuk mendapatkan simpati itu. Tetapi, mungkin sebab ihsan kami tinggi dan berkelakuan baik dapat juga (sokongan),” katanya.
Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menetapkan tarikh baharu bagi sebutan pengurusan kes dakwaan merogol seorang wanita di sebuah kondominium lima tahun lalu, pada 5 Oktober depan.
Difahamkan, Syed telah dilepaskan sementara setelah 21 hari menjalani hukuman penjara dengan jaminan RM35,000 oleh Mahkamah Tinggi pada Jumaat lalu.
Keputusan tersebut dibenarkan oleh Hakim Datuk Aslam Zainuddin selepas peguam yang mewakilinya, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff memohon untuk menggantung pelaksanaan hukuman sehingga rayuan didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.
Pada 30 Ogos lalu, Da’i Syed telah dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.