SHAH ALAM : Peguam syarie yang mewakili Nur Fazura, Fakhrul Azman Abu Hassan menafikan isu kecurangan menjadi punca anak guamnya memfailkan perceraian terhadap suaminya, aktor, Fattah Amin.
Jelas Fakhrul, perceraian itu berpunca kerana tiada persefahaman antara mereka.
“Selepas permohonan cerai dibuat Fazura dan Fattah tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Malah dalam permohonan cerai yang dibuat tiada langsung menyebut isu berkaitan curang, sebaliknya antara mereka tiada persefahaman,” katanya.
Menurut Fakhrul, isu curang yang disensasikan hingga tular di media sosial tidak pernah dikeluarkan oleh kedua-dua pihak sebelum ini.
“Semuanya berpunca daripada individu yang membuat kenyataan di media sosial terhadap perkara yang kami tak pernah cakap.
“Kedua-dua pihak sebolehnya mahu menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka tanpa mengaibkan mana-mana pihak,” katanya.
Terdahulu Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini hari ini menangguhkan kes perceraian pasangan selebriti, Nur Fazura dan Fattah Amin ke satu tarikh baharu pada 7 Oktober ini.
Sebelum ini isu keretakan rumah tangga Fazura dan Fattah hangat diperkatakan dalam media sosial apabila mereka dikatakan sudah tidak lagi meninggalkan komen atau tanda suka dalam hantaran di akaun masing-masing.
Malah, kisah rumah tangga Fazura dan Fattah juga dibincangkan di pelbagai platform media sosial sehingga menarik perhatian warganet.
Pada 13 September lalu, media melaporkan, Fazura memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini.
Butiran lanjut tidak diperincikan mengenai permohonan cerai itu, namun, ia mengejutkan ramai pihak dan sehingga kini isu yang berlaku diantara Fazura dan Fattah masih menjadi tanda tanya hingga wujud pelbagai spekulasi.
Bagaimanapun, Fattah dilapor berkata, dia terkejut apabila menerima berita isterinya memfailkan perceraian dan hanya mengetahui perkara itu menerusi media sosial.
Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya yang berusia empat tahun.