KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Jamal Abdillah, tidak merancang untuk menambah cahaya mata selepas anak kelima hasil perkongsian hidup bersama isteri, Zai Izzati Khirudin, dilahirkan pada Januari tahun depan.
Kata Jamal, bukan mahu menolak rezeki, sebaliknya, pada usianya yang mencecah lebih enam dekad, dia tidak lagi mempunyai kekuatan untuk membesarkan anak yang masih kecil.
“Sebenarnya saya sudah lama ‘angkat tangan’ dan pernah berbincang dengan isteri mengenai perancangan untuk tidak lagi memiliki cahaya mata. Bagaimanapun, tak sangka isteri hamil lagi.
“Pada usia 65 tahun, saya sepatutnya sudah berehat. Tetapi sebaliknya yang berlaku, saya masih kena tukar lampin dan bancuh susu anak.
“Jadi selepas ini, cukuplah. Saya serahkan kepada isteri untuk buat keputusan sama ada dia mahu atau tidak melakukan kaedah ikat rahim,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jamal berkata demikian sewaktu sidang akhbar konsert Night of Love & Compassion baru-baru ini.
Penyanyi bersuara emas ini sah bergelar suami kepada Zai pada tahun 2017. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan lima cahaya mata termasuk yang akan dilahirkan pada Januari tahun depan.
Disoal mengenai keadaan kesihatan isterinya, Jamal memaklumkan keadaan Zai, yang kini kehamilannya memasuki enam bulan, stabil.
“Dia dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana mengalami alahan yang teruk ketika peringkat awal kehamilannya.
“Alhamdulillah, sekarang keadaannya bertambah stabil dengan selera makan kembali normal. Berat badannya juga mulai bertambah,” kata Jamal lagi.