Cinta Allah, cintai Rasulullah SAW

Cinta Allah, cintai Rasulullah SAW

AZIZ YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CINTA hakiki adalah cinta kepada Allah SWT dan Rasulullah. Sebahagian ulama menganggap ia sebagai al-Hubb al-Ilahi yang menunjukkan rasa kebesaran Allah SWT.

Tanda dan dalil cinta kepada Allah dengan mematuhi perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Ali-Imran: 31)

Mengupas lanjut berkait cinta hakiki, Mudir Pondok Nur An-Najmi, Tumpat Kelantan, Aziz Yahya berkata, hierarki cinta sebenar adalah cinta kepada Allah SWT, Rasulullah SAW, ibu bapa dan cinta anak isteri.

Menurutnya, pembawa sinar dan penyuluh kehidupan umat manusia adalah Rasulullah SAW yang perlu dikenali dan dicintai umat manusia secara berterusan, bukan hanya pada tanggal kelahirannya di bulan Rabiul Awal.

“Ramai yang mencintai Nabi SAW tanpa ilmu. Tanpa mengkaji dan belajar untuk mengukuhkan kecintaan yang hakiki kepada junjungan besar.

“Mencintai Rasulullah SAW adalah satu kewajipan. Berhati-hatilah bahawa iman kita tidak akan diterima, kalau kita tidak mencintai Baginda. Ini bukan pilihan kita, tetapi perintah daripada Allah SWT,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.

Aziz berkata, seseorang yang mencintai Rasulullah SAW akan semakin mentaati dan mengikuti petunjuk-Nya selain melengkapi iman dan amal.

Menurutnya, dari Anas RA, dia berkata, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

Tidak sempurna keimanan seseorang di antara kalian hingga ia lebih mencintai aku daripada kedua orang tuanya, anaknya dan manusia semua.”
(Hadis Riwayat Bukhari)

Tambah Aziz, hadis diriwayatkan Imam al- Bukhari bahawa Abdullah bin Hisyam RA, berkata yang bermaksud: “ Kami mengiringi Rasulullah SAW dan baginda memegang tangan Umar al-Khattab RA, kemudian Umar berkata kepada baginda, ‘ Wahai Rasulullah sungguh engkau sangat aku cintai melebihi apa pun selain diriku.”

Katanya, maka Rasullulah SAW menjawab: “Tidak, demi yang jiwaku berada di tangan-Nya, hingga aku sangat engkau cintai melebihi dirimu. Lantas Umar berkata kepada baginda ‘

Sesungguhnya sekarang, demi Allah engkau sangat aku cintai melebihi diriku,’ maka nabi SAW menjawab sekarang (engkau benar), wahai Umar.”
Justeru, katanya dalam konteks cinta hakiki ini menuntut umat Islam mengenali Rasulullah SAW dengan pendekatan belajar dan menelaah sirah kehidupan Baginda, membaca dan berguru kerana ‘tidak kenal pastinya tidak cinta.’
“Iman kita tidak sempurna kalau kita tidak mencintai Baginda lebih daripada diri sendiri.

“Kecintaan yang mendalam dengan dizahirkan amalan berselawat, membaca kisahnya, memuji dan memuliakan Baginda serta mengamal sunnah dan mencontohi akhlaknya,” katanya.

Menurutnya, ulama terdahulu banyak mengarang risalah, majalah dan kitab-kitab menceritakan tentang akhlak, sirah sifat luar biasa Rasulullah SAW, keistimewaannya dalam pelbagai aspek untuk paparan ummah dalam menyemai cinta kepada Baginda SAW.

Katanya, untuk mencapai ‘makrifatul mahabbah’ ibu bapa perlu pastikan anak-anak zaman kini membaca dan mempelajari kisah nabi, kenal salasiah dan ahli keluarga Baginda.

USTAZ AZIZ YAHYA
Usia: 56
Asal: Kedai Buluh, Kota Bharu Kelantan:
Sejarah Pendidikan:
 Berguru di pondok Annajmiah dengan Tok Guru Haji Abdullah Saamah, Kampung Geting, Tumpat (10 tahun – Usuludiin, nahu dan soraf)
 Beberapa pondok di Selatan Thailand sebelum sambung pengajian di Ajyad, Mekah.
 Menuntut ilmu di Tareem Hadharmaut, Yaman (Tuan Guru Habib Omar Alhafiz )
Tugas hakiki:
 Mudir Pondok Nor annajmie Pasir Puteh, Kelantan di samping bergiat mengajar di masjid negeri dan daerah, kuliah agama di pejabat kerajaan dan universiti.

“Jangan pandang mudah, kena cari ilmu dan jangan lepas tangan serta tanggungjawab mendidik anak-anak, lebih-lebih lagi di zaman maklumat hujung jari yang penuh pancaroba, fitnah dan informasi yang menyesatkan kiranya ketipisan iman dan takwa,”katanya.

Paling utama, tegas Aziz, pastikan anak-anak celik al-Quran demi kesejahteraan kepada mereka sendiri dan ibu bapa dalam konteks keperluan duniawi dan ukhrawi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya