China latih belia Malaysia bina UAV  - Utusan Malaysia

China latih belia Malaysia bina UAV 

Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri Forum Perniagaan Halal Malaysia-China di Shanghai, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHANGHAI: China akan menghantar tenaga pengajar ke Malaysia pada bulan depan bagi melatih belia tempatan menghasilkan pesawat tanpa pemandu (UAV) berteknologi tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, buat permulaan, pakar-pakar dari China akan melatih pelajar institusi pengajian tinggi di Malaysia untuk menghasilkan 3,000 UAV sebagai sasaran awal.

Menurutnya, UAV tersebut berkemampuan terbang sebanyak 3,000 jam dengan jarak radius 300 kilometer.

“University Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT), Sepang dipilih sebagai pusat pengajian pertama untuk menghasilkan UAV ini.  

“Pelajar UNIKL MIAT  akan belajar pembikinan UAV pada bulan depan untuk memulakan pemasangan. Tujuannya adalah kita melihat potensi UAV di pasaran tempatan tetapi juga pasaran serantau dan luar negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Mara Aerospace & Technologies Sdn. Bhd. (Maracorp) dan Honeycomb Aerospace Technologies  (Beijing) Co. Ltd.

Usahasama dimeterai itu sebagai langkah proaktif dalam usaha penerokaan perniagaan dalam bidang pemasangan, pembuatan dan pembekalan produk UAV bagi pasaran serantau.

Honeycomb Aerospace mensasarkan pelaburan sebanyak RM100 juta pada tahun hadapan untuk pembinaan kilang pembuatan dan pengeluaran produk UAV di Malaysia dengan mensasarkan pasaran serantau yang lebih luas sehingga ke Timur Tengah.

Ahmad Zahid menjelaskan, prestasi syarikat China yang menjadi antara pengeluar UAV terbesar China mampu menghasilkan lebih 300,000 unit setahun.

“UAV ini sudah ada permintaannya, sebab itu mereka berani untuk melabur, malah turut mengenal pasti bidang lain yang akan kemukakan selepas kejayaan yang akan dibina oleh mereka. 

“Yang penting adalah keikhlasan mereka memilih Maracorp sebagai rakan kongsi dengan sebuah syarikat pembuat UAV terbesar di China. Perkongsian jangka panjang akan memberikan manfaat kepada pelajar khususnya UniKL MIAT,” ujarnya. 

Ahmad Zahid memberitahu, penggunaan UAV teknologi baharu ini bukan sahaja untuk keselamatan dan pertahanan, malah boleh digunakan untuk pembajaan dan peracunan dalam sektor pertanian yang lebih moden.

Sebagai permulaan, jelas beliau, untuk pertanian, kita mulakan dengan Felcra Berhad kerana terdapat padi di seberang Perak walaupun kini ada dron dalam skala kecil tetapi ia akan dibina pada skala besar untuk pembajaan dan peracunan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN