CEO, isteri, anak, 21 pengikut GISBH disambung reman - Utusan Malaysia

CEO, isteri, anak, 21 pengikut GISBH disambung reman

Reman GISBH
SERAMAI 22 wanita tiba di Sayap Kanan, Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bagi permohonan sambung reman dekat Mahkamah Majistret, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Services and Business Sdn. Bhd. (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd Ali bersama 23 pengikut termasuk isteri dan anaknya disambung reman selama empat hari sehingga Sabtu ini.

Permohonan sambung reman itu dibenarkan oleh Majistret Mohamad Reza Azhar Rezali yang dibuat di Mahkamah Majistret, hari ini.

Peguam mewakili syarikat GISBH dan pimpinannya, Rosli Kamaruddin berkata, perintah tersebut dikeluarkan terhadap CEO termasuk 19 lagi yang ditahan sebelum ini serta lima lagi individu ditangkap di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

“Setakat itu sahaja saya boleh beritahu, saya tidak boleh dedahkan perincian atau fakta berkenaan kes,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu dalam prosiding berasingan, Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman menolak permohonan bebas dengan bon jaminan terhadap 22 wanita dipercayai pengikut GISBH yang dibuat di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.

Terdahulu, sebelum prosiding bermula, Nasiruddin yang memakai jubah berwarna putih dan berkopiah, bersama 10 orang tiba di mahkamah kira-kira pukul 9.20 pagi diikuti dengan kumpulan seterusnya termasuk 22 wanita yang tiba melalui laluan bahagian belakang Sayap Kanan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Pada 19 September (Khamis) lalu, lima individu termasuk anak Nasiruddin diperintah menjalani reman selama tujuh hari di sebelah pagi, sementara dia, isteri dan 17 pengikut menerima perintah tersebut daripada Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin kira-kira pukul 3 petang.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 12 lelaki dan tujuh wanita berusia 25 hingga 65 tahun dibawa untuk tahanan di Lokap Berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 32(a) Akta Kanak-kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022.

Dalam Operasi (Op) Global yang dilakukan sejak 18 September lalu, polis menahan lebih 200 individu termasuk pemegang jawatan dalam GISBH menerusi empat fasa serbuan terhadap premis berkaitan syarikat itu di seluruh negara.

Malah, dalam serbuan pertama, polis menyelamatkan 402 individu terdiri daripada remaja dan kanak-kanak di 20 buah sekolah agama dan rumah kebajikan sekitar Selangor dan Negeri Sembilan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN