Cari motivasi dengan golf - Man Bai - Utusan Malaysia

Cari motivasi dengan golf – Man Bai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menyepi dalam dunia hiburan membuatkan Pancaindera berfikir sejenak, apa yang selalu dibuat oleh penyanyi veteran yang boleh dianggap masih popular ketika ini, Man Bai. 

Selain membuat lagu dan menghabiskan masa di studio, siapa sangka Man Bai suka menghabiskan masa yang terluang dengan bermain golf. 

Man Bai atau nama sebenarnya, Abdul Rahman Osman menjadikan golf sebagai aktiviti sampingannya kerana sukan itu menjadikan dia lebih bermotivasi. 

“Saya sudah lama bermain permainan ini, lebih kurang tujuh tahun. Saya mula belajar untuk bermain permainan ini secara sendirinya. 

“Dengan bermain golf, saya dapat meluangkan masa bersama rakan-rakan yang lain dan mengeratkan hubungan kami. 

“Bagi saya, golf ini sebenarnya sukan yang saya perlu untuk berlawan dengan diri sendiri. Jadi motivasi dalam permainan itu sangat tinggi,” katanya kepada Pancaindera. 

Selain itu, penyanyi lagu Kau Ilhamku itu menepis stereotaip ramai bahawa sukan golf itu hanya golongan ‘kayangan’ sahaja yang mampu bermain dan bergaul di situ. 

“Sememangnya ramai yang berkata bahawa hanya orang kaya sahaja yang mampu namun kenyataan itu salah. 

“Golf bukan lagi sukan yang hanya untuk golongan berada, malah orang miskin juga mampu menyertainya jika mereka hendak main. 

“Sukan ini memberikan motivasi tinggi kepada individu untuk memperbaiki diri dan berubah ke arah kehidupan yang lebih baik,” katanya lagi. 

Dalam pada itu, penyanyi itu turut menyifatkan bahawa memegang kayu golf dan memukul bola itu merupakan satu perjuangan kepada dirinya. 

“Ia satu perlawanan yang berlawan dengan diri sendiri dan bermain dengan dalaman kita untuk masukkan bola ke dalam lubang. 

“Saya selalu cakap ‘aku tak nak gagal sebagai manusia’ ketika dalam permainan. Jadi sukan ini merupakan satu berjuang melalui pukulan. 

“Saya anggap halangan di dalam permainan itu sebagai cabaran dan halangan dalam kehidupan yang perlu kita hadap juga,” kongsinya. 

Sebagai seorang yang professional, keselamatan sangat menjadi keutamaan ketika dalam permainan kerana malang tidak berbau. 

“Buat masa ini, etika sememangnya menjadi keutamaan saya dalam permainan untuk mengelakkan diri daripada sebarang kecederaan. Alhamdulillah, tiada lagi sebarang kecederaan buat masa ini. 

“Cuma yang bahaya ketika main golf ini, ia mampu untuk saya melupakan segalanya sehingga lupa nak buat kerja,” selorohnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya