GEORGE TOWN : Kerajaan disaran menolak memorandum oleh pemain industri vape yang mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil langkah intervensi terhadap peraturan ditetapkan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, dalam hal ini, penolakan memorandum yang dikemukakan gabungan lima persatuan vape tempatan itu mesti dibuat dengan tegas bagi melindungi kepentingan awam.
“Walaupun industri vape mendakwa mereka sebagai penjana hasil yang penting, tuntutan ini tidak sebanding dengan kos perubatan tinggi yang perlu ditanggung oleh pembayar cukai.
“Tambahan pula, rayuan pemain industri untuk berbincang dengan Kementerian Kewangan yang diterajui oleh Perdana Menteri menimbulkan kebimbangan tentang komitmen Malaysia terhadap Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO FCTC),” katanya di sini, hari ini.
Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) akan dikuatkuasakan bermula Selasa ini kepada mereka yang terlibat dengan rokok, vape atau e-rokok (rokok elektronik).
Dalam pada itu, Mohideen berkata, kerajaan wajib melindungi dasar kesihatan awam daripada pengaruh kepentingan komersial tembakau kerana kesihatan awam mesti diutamakan berbanding kepentingan komersial.
“Walaupun vape digambarkan sebagai alternatif yang lebih selamat dan alat untuk berhenti merokok, namun, dakwaan ini mengelirukan dan menyumbang kepada ketagihan nikotin yang berterusan,” katanya.
Tambah beliau, industri vape juga menyasarkan individu bukan perokok dan golongan muda yang dikhuatiri menjadi penyebab mereka menjadi ketagih dengan produk nikotin.
“Paparan produk vape yang menonjol di kedai dan digabungkan dengan pembungkusan yang menarik memainkan peranan penting dalam mempengaruhi tingkah laku pengguna.
“Penyelidikan juga menunjukkan bahawa strategi pemasaran sedemikian menggalakkan bukan perokok dan remaja untuk menggunakan produk ini dengan akibat jangka panjang yang berbahaya,” katanya.-UTUSAN