PETALING JAYA: Hampir 15,000 pelajar sekolah dikesan memilih menghisap rokok elektronik dan vape berbanding rokok tembakau, sekali gus meningkatkan risiko kesihatan melibatkan generasi muda.
Jumlah itu diperoleh berdasarkan kaji selidik dilakukan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) di sekolah di seluruh negara tahun ini.
Sehubungan itu, Pegawai Pendidikan CAP, N.V. Subbarow mendesak kerajaan mencari penyelesaian bagi mengurangkan amalan serta tabiat merokok dalam golongan muda khususnya pelajar sekolah.
Beliau berkata, masalah menghisap rokok tembakau dalam kalangan pelajar semakin merosot namun penggunaan vape meningkat.
Menurut beliau, kebanyakan pelajar sudah menukar selera dengan mengikuti trend semasa apabila memilih vape atau rokok elektronik kerana mudah dibeli, selain menampilkan pelbagai jenis perisa.
“Penggunaan vape juga tidak dapat diatasi kerana harganya sangat murah. Pelajar juga boleh beli satu atau dua batang rokok di kedai-kedai runcit.
“Memang undang-undang tidak membenarkan penjualan rokok kepada kanak-kanak tetapi tiada penguatkuasaan dijalankan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Berdasarkan tinjauan KKM tahun lalu, seramai 38,384 murid dan pelajar sekolah didapati merokok. Jumlah itu terdiri daripada 38,010 pelajar sekolah menengah manakala 374 murid sekolah rendah.
Pada tahun sebelumnya, seramai 43,000 pelajar dikesan merokok termasuk 341 murid sekolah rendah.
Namun pelajar yang merokok sudah berkurang apabila penggunaan rokok elektronik di Malaysia meningkat dengan ketara sehingga 600 peratus dengan 5.8 peratus adalah pengguna semasa pada tahun lalu, berbanding hanya 0.8 peratus pada tahun 2011.
Mengulas lanjut, Subbarow berkata, kajian CAP turut menunjuk pelajar berumur seawal 8 tahun sudah mula hisap rokok dan vape.
“Ini kerana bapa atau ahli keluarga pelajar ini lebih gemar menghisap rokok atau vape di dalam rumah atau hadapan kanak kanak,” katanya.
Dalam pada itu, Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, mengenal pasti pelajar merokok adalah sangat penting.
“Ini kerana merokok merupakan manifestasi isu lain yang berlaku ke atas diri mereka dan juga komuniti di sekeliling.
“Akta generasi penamat merokok (GEG) tidak menjamin untuk menangani isu merokok dalam kalangan pelajar.
“GEG tidak dijalankan lagi di mana-mana negara dunia setakat ini kerana kebanyakkan ia akan gagal dan mempunyai kesan kesan lain yang berlaku.
“New Zealand adalah negara pertama mengaplikasi GEG dan akhirnya menarik balik GEG ini pada tahun lepas akibat kesan tidak langsung yang berlaku akibat denikotinasi dilaksana di negara tersebut,” katanya.- UTUSAN