CAP gesa undang-undang larang pamer produk vape dikuatkuasakan

CAP gesa undang-undang larang pamer produk vape dikuatkuasakan

N.V. SUBARROW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang untuk melarang pemilik premis mempamerkan produk vape, e-rokok dan rokok bagi mengelakkan kanak-kanak tertarik dengan produk berbahaya itu.

Pegawai Pendidikan CAP, N.V.Subbarow berkata, penguatkuasaan larangan untuk mempamer ketiga-tiga produk tersebut tidak boleh ditangguhkan lagi di negara ini.

“Tindakan ini amat penting untuk melindungi generasi muda daripada pengaruh bahaya tabiat merokok.

“Dalam hal ini, kanak-kanak dan remaja menjadi sasaran mudah industri terutamanya dengan pelbagai produk yang menarik perhatian dari segi reka bentuk, warna, dan aneka perisa,” katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, CAP mendedahkan bahawa hampir separuh daripada 15,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di lima negeri termasuk 2,000 pelajar perempuan dikesan mengalami ketagih vape.

Tinjauan CAP selama tiga tahun iaitu sejak 2021 terhadap 15,000 pelajar sekolah di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendapati 8,000 daripada mereka menghisap vape.

Daripada jumlah itu pula, seramai 2,000 adalah pelajar perempuan selain 4,000 dalam kalangan murid sekolah rendah turut menghisap vape.

Menurut Subbarow, langkah penguatkuasaan itu bukan sahaja akan mengurangkan pendedahan awal kepada tabiat merokok dan menghisap vape dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, tetapi, menyekat normalisasi penggunaan bahan berbahaya itu dalam masyarakat.

Katanya, walaupun undang-undang sedia ada melarang kanak-kanak daripada membeli atau memiliki produk rokok, tarikan visual dan keinginan mencuba meningkatkan risiko untuk mereka terjebak ke dalam kancah bahaya ini tanpa menyedari risiko kesihatan yang lebih serius.

“Keadaan kini semakin membimbangkan. Jika kawalan ketat terhadap produk nikotin ini tidak dilaksanakan segera, semakin ramai anak muda akan terjerat dalam tabiat menghisap vape yang akhirnya membawa kepada ketagihan,”katanya.

Tambah beliau, adalah penting bagi pihak berkuasa untuk bertindak tegas dan memastikan peraturan dilaksanakan dengan lebih ketat agar usaha memerangi ketagihan nikotin dan melindungi masyarakat, terutama golongan muda dapat dicapai sepenuhnya.

“Tindakan tegas ini akan memperkukuhkan matlamat kesihatan awam dalam mengurangkan kemudaratan yang dibawa oleh rokok dan vape,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN