Cantik sahaja tidak cukup, bukan? - Utusan Malaysia

Cantik sahaja tidak cukup, bukan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ENTAH kenapa kehadiran filem distopia di era manusia semakin gila menggantungkan seluruh hidup di layar telefon bimbit terasa sangat diperlukan. 

Bila difikir semula, saya sendiri tidak ingat bila kali terakhir saya menonton naskhah genre begini, mungkin Divergent 2014. 

Boleh jadi juga ada yang lebih baru, tapi tidak masuk dalam daftar ingatan saya. 

Uglies membawakan premis yang menarik iaitu di mana ada sebuah dunia, setiap manusia diwajibkan melakukan pembedahan plastik apabila mencecah usia 16 tahun. 

Mereka percaya, dengan menjadi cantik anda tidak akan disisihkan dan hidup bahagia. 

Selepas itu, barulah anda boleh bergaul dengan masyarakat yang lain di Bandar, gembira dengan hidup penuh dengan parti dan bunga api. Watak utamanya Tally dilakonkan sangat menjadi oleh Joey King. 

Semasa Tally senyap-senyap memasuki Bandar untuk mencari kawannya, Peris. 

Ketika itulah dia berjumpa Shay seorang perempuan yang mempunyai idea gila iaitu tidak mahu melalui proses pembedahan plastik.

RUMAH DI TASIK

Shay membawa idea radikal selepas membaca buku tulisan Thoreau bertajuk ‘Walden’. Buku itu sebenarnya sebuah memoir yang ditulis Thoreau sepanjang duduk di sebuah rumah di tepi tasik selama dua tahun. 

Shay dan Tally akhirnya melarikan diri ke sebuah dunia lain yang nyata bernama ‘Smoke’ dengan bantuan David. 

Bagi saya, ‘Smoke’ adalah dunia yang digambarkan bagaimana indahnya hidup tanpa media sosial, manusia belajar menanam makanan sendiri dan menerima kecantikan mereka seadanya. 

Pendek kata, ia dunia yang dijelmakan dengan mengambil ilham daripada buku tulisan Thoreau.

Dalam naskhah ini, anda akan boleh membezakan manusia nyata di Smoke dan juga manusia di Bandar yang wajah mereka persis filter di Instagram.

BEGITU-BEGITU SAJA

Namun begitu, saya perlu jujur mengakui naskhah ini mempunyai kepincangan dalam pelbagai perkara khususnya pembinaan jalan cerita. 

Lama saya memikirkan mengapa naskhah dengan premis menarik begini boleh terasa membosankan. 

Setelah hampir memasuki peleraian, saya akhirnya faham Uglies terasa ‘begitu-begitu’ sahaja kerana gagasan yang dibawanya terasa sangat plastik. 

Berbanding naskhah genre sama seperti Divergent atau The Hunger Game, konflik yang dinyatakan dalam naskhah itu sangat solid manakala Uglies mempunyai banyak kelompongan misalnya bagaimana pembedahan plastik boleh menghentikan huru hara? 

Serta apa pula kaitan sumber bahan mentah yang makin berkurangan dengan menjadi cantik? Uglies tiada tujuan dan perjuangan besar yang boleh mengikat emosi penonton. 

Tally gagal memberikan kesan yang sama seperti mana pernah diberikan Katniss Everdeen dan siri The Hunger Game. 

Itu belum lagi dengan penamatnya yang sungguh buat saya baran. Kalau benar mahu bikin sambungan, janganlah begitu tergantung dan dibiar terkontang-kanting. Apapun, ia filem yang cantik. Tapi cantik sahaja tidak cukup, bukan?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya