Caj air: Kalau masuk mahkamah, kita jawab di mahkamah - Kon Yeow

Caj air: Kita jawab di mahkamah – Kon Yeow

CHOW Kon Yeow (kanan) ketika ditemui pemberita di George Town, Pulau Pinang hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan Pulau Pinang bersedia memberi maklum balas berhubung isu tuntutan caj air mentah dari Sungai Muda yang dibekalkan kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) susulan tindakan perundangan yang mungkin diambil oleh kerajaan negeri Kedah berkaitan isu tersebut selepas ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sekiranya kerajaan Kedah membawa perkara itu ke mahkamah, maka katanya, kerajaan Pulau Pinang juga akan menjawab isu tersebut di mahkamah.

“Isu air sudah banyak kali saya jawab dan jawapan saya sama juga iaitu terpulang kepada Kedah mahu ambil tindakan.

“Kita (Pulau Pinang) akan beri respon. Kalau cuma cakap, kita jawab cakap saja. Kalau masuk mahkamah, kita akan jawab  dalam mahkamah,” katanya selepas menghadiri majlis perjanjian pajakan bagi projek Hotel Warisan 1926, di sini hari ini.

Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Kedah akan ‘mengheret’ Pulau Pinang ke mahkamah untuk menuntut bayaran caj air mentah dari Sungai Muda yang dibekalkan kepada PBAPP sebelum ini.

Muhammad Sanusi berkata, hal ini demikian kerana, pihak pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang sendiri
yang mahu perkara tersebut diselesaikan melalui proses mahkamah.

Terdahulu, isu tuntutan caj air mentah itu timbul semula ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah baru-baru ini .

Ia berikutan dakwaan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar negeri itu, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria bahawa Pulau Pinang masih gagal membuat bayaran walaupun satu sen kepada Kedah biarpun tuntutan berkenaan telah dibuat sejak 2010.

Untuk rekod, Kedah sebelum ini telah mengemukakan tuntutan bertulis kepada Pulau Pinang untuk mengenakan caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun berikutan PBAPP mendapat bekalan air dari Sungai Ulu Muda yang berpunca dari Kedah.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai peluang Pulau Pinang sekiranya kes tuntutan caj air mentah itu dibawa ke mahkamah, Kon Yeow berkata, mahkamah belum pun memutuskan mengenai perkara itu buat masa ini.

“Tetapi memang ada pelbagai undang-undang dan konvensyen antarabangsa yang mengawal penggunaan sumber air yang melibatkan lebih dari satu negara mahu pun negeri,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya