Cabaran Malaysia urus Islamfobia, guna Islam pupuk kebencian - Anwar

Cabaran Malaysia urus Islamfobia, guna Islam pupuk kebencian – Anwar

ANWAR semasa berucap pada Majlis himpunan 24k Huffaz Malaysia di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri mengakui Malaysia kini dalam keadaan ‘simpang siur’ apabila berdepan dengan dua cabaran iaitu Islamofobia dan kumpulan menggunakan Islam untuk menanam kebencian kepada semua pihak.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan komited untuk menangani kedua-dua cabaran ini dengan bijaksana dan berprinsip.

“Pertama, kita berhadapan dengan pihak yang menghidupkan Islamofobia, yang menganggap Islam sebagai ancaman.

“Kedua, ada golongan yang menggunakan Islam untuk menanam kebencian terhadap semua pihak selain daripada kelompok mereka sendiri. Ini adalah cabaran yang mesti kita atasi dengan bijaksana,” katanya semasa berucap pada Majlis himpunan 24k Huffaz Malaysia di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Anwar berharap para Huffaz dapat menguasai Islam agar dapat menyebarkan mesej yang jelas kepada pihak luar.

Majlis itu menghimpunkan 24,000 ahli al-Quran terdiri daripada pelajar tahfiz, guru tahfiz dan alim ulama dari 1,500 buah madrasah tahfiz al-Quran yang bernaung di bawah Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) seluruh negara.

Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan bahawa agama Islam adalah agama yang membawa kasih sayang dan menyatukan ummah.

“Menyeru kepada kebaikan adalah tuntutan agama dan setiap penyampaian harus dilakukan dengan penuh penghayatan,” jelasnya.

Anwar turut mengakui bahawa terdapat pihak yang melenting apabila Islam disebut atau apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diminta menjalankan siasatan.

“Kita bukan bertindak zalim, tetapi kita berusaha menegakkan prinsip-prinsip Islam. Kita faham semangat pihak lain tapi jangan bawa pandangan barat Islamofobia, di mana sesetengah pihak menganggap Islam sebagai sesuatu yang membawa kebencian,” tambahnya.

Beliau menekankan bahawa Islam harus dilihat sebagai agama rahmat dan kasih sayang dan contoh terbaik dengan memperlihatkan amalan yang baik di kalangan masyarakat.

“Kita perlu mengelakkan sikap ‘assabiyah’ di mana hanya kelompok tertentu dianggap benar dan Islam dilihat sebagai salah.

“Jika ada cadangan atau perkara yang perlu diperbaiki, sila kemukakan. Kita akan sediakan ruang untuk penambahbaikan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap isu perdagangan dengan Israel.

“Kerajaan telah mengambil langkah untuk melarang kapal-kapal Israel daripada menggunakan pelabuhan Malaysia. Ini adalah hasil daripada pendirian tegas kerajaan dalam mempertahankan prinsip yang jelas,” ujarnya.

Turut hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Naim Mokhtar, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.- UTUSAN

Habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya