Cabaran Antarabangsa Petronas: Nasib berbeza pemain pilihan - Utusan Malaysia

Cabaran Antarabangsa Petronas: Nasib berbeza pemain pilihan

PEMAIN Malaysia, Soong Joo Ven mara ke pusingan ketiga Cabaran Badminton Antarabangsa Petronas selepas mengalahkan pemain senegara, Garrt Tan 21-13, 21-13. - UTUSAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Nasib berbeza menimpa pemain pilihan pertama dan kedua perseorangan lelaki pada Cabaran Badminton Antarabangsa Petronas Malaysia 2024 di Arena Badminton Perak di sini.

Ketika pilihan utama kejohanan, Koo Takahashi tidak menghadapi masalah untuk melangkah ke pusingan ketiga, pilihan kedua, Meiraba Luwang Mausnam tersingkir pada perlawanan semalam.

Takahashi dari Jepun menumpaskan pemain Indonesia, Henriko Wibowo Kho 21-15, 21-15 hanya dalam tempoh 36 minit manakala Meiraba dari India tunduk 16-21,21-9, 20-22 kepada pemain Jepun, Keisuke Fujiwara.

Seorang lagi pemain pilihan yang tersingkir ialah pilihan kelapan, Bharat Raghav apabila kalah kepada pemain negara, Hooi Shao Herng.

Shao Herng, pemain bukan pilihan mempamer semangat kental terutama pada set penentuan untuk menunjuk pintu keluar buat pemain India itu 21-16, 13-21, 22-20 dalam pertarungan selama 51 minit untuk layak ke pusingan ketiga.

Turut berjaya ialah pilihan keempat Soong Joo Ven yang menunjuk pintu keluar kepada rakan senegara Garrt Tan 21-13, 21-13.

Pemain harapan negara dalam acara Perseorangan Wanita, S. Kisona hanya mengambil masa 20 minit untuk menyingkirkan rakan senegara, Tan Sheng Ting 21-10, 21-5.

Pilihan utama, Riko Gunji dari Jepun pula terpaksa bekerja keras untuk menyingkirkan Sarapom Sombutwatthananukool (Thailand) 21-16,21-17. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN