Buruh binaan maut pacuan empat roda dipandu bertembung lori - Utusan Malaysia

Buruh binaan maut pacuan empat roda dipandu bertembung lori

KEADAAN pacuan empat roda dipandu Muhammad Haziq Afiq selepas bertembung dengan sebuah lori di Jalan Lata Belatan Kampung Kuala Kubang, Jabi, Besut, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Seorang buruh binaan maut selepas pacuan empat roda yang dipandu terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di jalan Lata Belatan Kampung Kuala Kubang, Jabi, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa Muhammad Haziq Afiq Mohd Aluwi, 20, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari tempat kerja di Lata Belatan ke stesen minyak di Jabi.

“Sementara itu, pemandu lori jenis Hino dari arah tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kampung Kuala Kubang pula menghala ke Lata Belatan untuk mengambil pasir,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ujar beliau kemalangan itu dipercayai berlaku apabila pemandu lori yang melalui selekoh telah memasuki laluan bertentangan sehingga bertembung dengan kenderaan dipandu mangsa.

Abdul Rozak berkata, akibat kemalangan itu, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Besut untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, pemandu lori berusia 30 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN