Bunuh tiga beradik hari pertama puasa, bekas buruh digantung

Bunuh tiga beradik hari pertama puasa, bekas buruh digantung

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap seorang bekas buruh kerana membunuh tiga beradik masing-masing berusia dua, tiga dan lima tahun dalam kejadian pada hari pertama umat Islam berpuasa pada 2018.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli memutuskan demikian secara sebulat suara terhadap Shahrul Pitri Jusoh, 41, selepas menolak rayuan akhirnya.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak yang mensabit dan menghukumnya pada 6 Ogos 2020 dan Mahkamah Rayuan yang mengesahkannya pada 14 September lalu.

Ketika menyampaikan keputusannya, Hakim Abdul Rahman berkata, rayuan itu tiada merit dan tidak terdapat sebarang kekhilafan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan Shahrul Pitri.

Berkaitan hukuman, panel itu berpendapat, prinsip am menyatakan Mahkamah Persekutuan perlu berhati-hati ketika mencampuri hukuman yang diputuskan oleh mahkamah rendah melainkan ia menyalahi undang-undang, tidak mencukupi atau berlebih-lebihan.

Ujar beliau, keseimbangan harus dicapai di antara simpati kepada pesalah dan penderitaan yang dihadapi mangsa serta kerosakan dilakukan penjenayah kepada masyarakat.

“Dalam kes ini, kami sebulat suara berpendapat bahawa hukuman mati yang disahkan oleh Mahkamah Rayuan ketika melaksanakan budi bicaranya adalah sesuai dan menepati keadaan berdasarkan jenayah yang dilakukan.

“Tidak ada keadaan yang boleh meringankan hukuman untuk mewajarkan penjara dikenakan terhadapnya. Rayuan ditolak dan hukuman mati disahkan,”’ ujar beliau.

Shahrul Pitri disabitkan atas tiga tuduhan berasingan membunuh Nur Zia Fasihah Mohd. Fadzil, 2, serta dua abangnya, Muhammad Firash Zafrill, 3, dan Muhammad Faqih Zahirulhaq, 5.

Perbuatan itu dilakukan di rumah projek bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak di Kampung Sungai Haji Muhammad, Selekoh, Bagan Datuk antara pukul 2.30 dan 2.40 petang 17 Mei 2018 iaitu pada hari pertama umat Islam berpuasa pada tahun tersebut.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal @ Zainol berhujah agar sabitan dan hukuman gantung terhadap perayu dikekalkan.

Beliau memohon mahkamah mengambil kira kes tersebut melibatkan nyawa tiga kanak-kanak yang tidak berdosa yang mana mangsa pertama berusia dua tahun dikelar lehernya dengan parang ketika berada bersebelahan ibunya dalam rumah tempat kejadian.

Menurut Norzilati selaku responden, keterangan kes tersebut adalah mencukupi untuk mematuhi prinsip ‘kes yang paling jarang di antara yang jarang berlaku’ yang mewajarkan hukuman mati dikekalkan.

Pihak responden turut memohon koram berkenaan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak pembelaan tertuduh bahawa dia mengalami gangguan mental ketika kejadian.

Hujah Norzilati, Mahkamah Tinggi ketika itu berpuas hati, tertuduh berasa marah dan bertindak mencederakan ketiga-tiga kanak-kanak tersebut.

Ujarnya, hakim bicara turut menolak keterangan pembelaannya bahawa dia tidak sedar kerana pengambilan dadah lalu tertidur dan hanya dimaklumkan telah membunuh tiga kanak-kanak selepas terjaga.

“Keterangan pakar psikiatri yang menjalankan pemeriksaan dalam tempoh sebulan selama 11 kali pada 11 hari yang berlainan mengesahkan perayu dalam keadaan waras ketika melakukan pembunuhan.

“Ketika ditanya oleh pakar berkenaan, perayu mampu mengenal pasti tiga kanak-kanak berkenaan serta masa kejadian. Dakwaan perayu bahawa dia tidak sedar kerana mengambil dadah, perlu ditolak,”’ ujar Norzilati.

Terdahulu, peguam-peguam R. Mahendren Naidu dan Dennis Pereira memohon mahkamah mempertimbang keterangan kes bahawa perayu berasa marah kerana bapa ketiga-tiga mangsa tidak berlaku jujur kerana menipunya berkaitan isu gaji.

Pihak pembelaan memohon hukuman gantung digantikan dengan hukuman penjara di antara 30 tahun dan 40 tahun selepas pindaan hukuman mati dikuatkuasakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya