PETALING JAYA : Kegiatan tujuh kilang yang beroperasi secara haram melakukan aktiviti memproses sisa elektronik (e-waste) terbongkar selepas diserbu Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Bukit Aman kelmarin.
Menerusi serbuan yang dilakukan di sekitar Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang bermula pukul 11.30 pagi itu turut merampas 19,203 guni barang kitar semula dan pelbagai barangan bernilai RM97 juta.
Pemangku Pengarah JKDNKA, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, seramai 35 individu terdiri lima warta tempatan dan selebihnya warga asing berusia antara 25 sehingga 60 tahun telah ditahan dalam operasi berkenaan.
Kata beliau, warga tempatan yang ditahan dipercayai berperanan sebagai penyelaras atau koordinator yang mengambil untung jutaan ringgit atas aktiviti yang dijalankan.
Ujar beliau, siasatan lanjut mendapati warga asing yang ditahan berperanan membawa teknologi dan bahan kimia disyaki dari negara luar untuk melakukan jenayah itu.
“Barangan e-waste itu telah dibawa masuk ke Malaysia dari negara luar menggunakan kontena yang diisytiharkan barangan logam bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Sindiket ini akan melakukan proses kitar semula barangan e-waste yang diseludup untuk mendapatkan logam-logam berharga seperti tembaga, besi, timah dan lain-lain sebelum dijual bagi pasaran tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, operasi khas ini telah dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Beliau berkata, tindakan lanjut telah diambil JAS dan MBDK dengan mengeluarkan notis penutupan dan menyita peralatan di dalam premis tersebut di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (AKTA 171).
Ujar beliau, siasatan akan dilakukan di bawah Seksyen 22, Seksyen 25c Seksyen 34A dan Seksyen Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Selain itu, siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 6(1) (c), Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963.
“Tindakan juga akan diambil di bawah peraturan 39B Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 101 (1) (V) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171),” jelasnya.
Beliau menambah, kesemua tangkapam dan rampasan berkaitan Akta Imigresen 1959/63 telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan untuk tindakan selanjutnya.
Manakala bagi kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian telah dikenakan kompaun atas kesalahan menjalankan tred, perniagaan dan perindustrian iaitu menyimpan barang-barang kitar semula tanpa lesen.
“Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga amat menggalakkan dalam memastikan jenayah seperti ini dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya.-UTUSAN