BESAR jasa dan sumbangan penyanyi bertaraf legenda ini kepada negara. Apatah lagi, Mohammad Rauzan Alwi atau lebih dikenali sebagai Roy, 60, sejak dulu memperjuangkan lagu-lagu patriotik.
Kalau ditanya siapa anak seni yang layak diberi gelaran dan pengiktirafan, Roy antara figuranya. Namun keadaan bertukar sebaliknya. Roy berlapang dada, dengan kesudahan kariernya banyak dihabiskan di jalanan, menghiburkan warga kota sebagai penyanyi busker.
Tambah menyedihkan, Roy turut berdepan penghinaan hanya disebabkan menjadi penyanyi jalanan. Namun, cacian tidak menjadi kudis. Roy percaya rezeki telah ditentukan dan dia bersyukur, dalam keadaan menanggung pelbagai masalah kesihatan, dia masih diberi kekuatan untuk bekerja demi menyara keluarga.
“Bukan baru hari ini saya dihina, malah sejak dulu lagi. Hanya disebabkan saya menyanyikan lagu patriotik, saya dilabelkan penyanyi kelas bawahan.
“Dan dulu, penghinaan sebegitu saya terima daripada rakan artis sendiri. Mereka pandang saya atas bawah dan ketawakan, kategorikan saya penyanyi tak ada standard, penyanyi kerajaan berbanding mereka yang popular.
“Pada saya, pergi mampus dengan penghinaan mereka. Sekurang-kurangnya, saya nyanyi lagu patriotik untuk negara. Apa pula jasa mereka?” katanya kepada Utusan Malaysia.
Cacian tidak mematahkan semangat. Buktinya penyanyi ini masih bertahan, mencari rezeki dalam bidang yang dicintainya meskipun jalan yang ditempuhi ada naik turunnya.
“Mentaliti mereka yang menghina saya rendah. Ada penyanyi, mahu nyanyi lagu patriotik pun malas.
“Memang ada pihak yang berpandangan saya layak diberi pengiktirafan atau gelaran kerana memperjuangkan lagu patriotik.
“Tapi saya bersyukur dengan apa yang saya ada, dan tak kejar sebarang gelaran. saya dibayar untuk menyanyi. Allah sudah letakkan saya di jalan ini,” kongsinya.
NETIZEN BEBAS BUAT ANDAIAN
Dalam pada itu, Roy sebelum ini pernah menimbulkan persoalan menerusi luahan di media sosial mengenai penghinaan masyarakat dan keluarga yang dihadapnya. Meskipun tidak memperincikan mengenai luahan amarah itu, kenalan dan pengikut media sosial berlumba-lumba membuat spekulasi kononnya rumah tangga Roy sedang dilanda badai.
Roy memaklumkan perkongsian itu tidak sekadar bersifat peribadi, sebaliknya juga mewakili sahabat-sahabat lain yang berdepan masalah dalam rumah tangga mereka.
“Ramai kawan-kawan saya yang berkongsi masalah rumah tangga mereka. Jadi mahu kata perkongsian itu bersifat peribadi, tidaklah juga. Ada juga kawan-kawan saya yang meluahkan kekecewaan terhadap isteri-isteri mereka yang tidak faham situasi suami yang teruk bekerja. Setiap pasangan pasti berdepan masalah ini.
“Saya simpati dengan mereka. Jadi perkongsian saya di Facebook itu adalah mewakili suami-suami yang teraniaya. Mungkin mereka tidak tahu macam mana hendak meluahkan,” katanya.
Roy sebelum ini memuat naik hantaran di Facebook mengenai rasa kecewa terhadap penghinaan yang diterimanya termasuk daripada keluarga sendiri.
“Aku rasa sentiasa dipandang hina, tidak kira daripada siapa. Mahupun keluarga sendiri, tak tahu kenapa. Nak dapat sakit jiwa kot. Rasanya sudah lama aku sakit jiwa, cuma tak masuk hospital sahaja,” tulisnya.
Penyanyi lagu Ratnaku itu berlapang dada sekiranya ada pihak yang salah faham, mengaitkan perkongsiannya itu dengan masalah dalaman rumah tangganya. Kata Roy, dia berhak berkongsi pandangan di media sosial dan memberi kebebasan kepada netizen untuk membuat andaian.
“Perkongsian itu adalah teguran buat isteri-isteri yang tidak faham keadaan suami. Bukan niat saya untuk menghina sesiapa. Terpulang kepada masyarakat mahu berprasangka, kononnya saya zalim, hentam isteri sendiri.
“Saya berhak untuk kongsi apa sahaja di media sosial, termasuklah perkongsian yang bersifat dwimaksud. Kalau pun saya ada masalah dengan pasangan saya, perkongsian ini adalah teguran untuk dia.
“Ini juga mungkin cara saya nasihat isteri. Bukan dengan cara berbalah depan-depan, memenatkan. Saya kerja macam lembu, angkat barang macam kuli, busking sampai 10 jam, kepenatan. Ditambah dengan masalah kesihatan pula. Semua ini saya buat sendiri, tanpa bantuan sesiapa.
“Perkongsian saya di media sosial adalah sebagai peringatan. Pandai-pandailah hadam ‘jentikan’ saya di situ,” luahnya.