Budaya hormat mampu kurangkan mudarat dalam talian 

Budaya hormat mampu kurangkan mudarat dalam talian 

AHMAD Zahid Hamidi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua pihak mampu mengurangkan kemudaratan yang sering timbul dengan mempromosi budaya hormat di dalam talian. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr, Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua pihak juga perlu bekerjasama memerangi mudarat dan mengambil tanggungjawab untuk setiap tingkah laku dalam talian. 

Sehubungan itu, katanya, semua pihak memerlukan keselamatan siber yang lebih kukuh, memperkasa literasi digital dan akauntabiliti lebih besar untuk syarikat yang membenarkan kandungan berbahaya. 

“Berhati-hati dengan apa yang kita kongsi dan dengan siapa kita berkomunikasi. Penipu semakin maju dan memerangkap meskipun terhadap orang yang paling berhati-hati. 

“Berbilion ringgit hilang disebabkan penipuan dalam talian yang boleh berlaku dalam pelbagai bentuk,” katanya dalam ucapan pelancaran Persidangan Perundangan Antarabangsa Ancaman dalam Talian 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Sosial Negara berkata, penubuhan majlis itu bertujuan memupuk nilai dan kapasiti insan bagi menggalakkan perpaduan sosial, kestabilan dan kesejahteraan masyarakat Malaysia. 

Katanya, majlis itu giat menangani isu utama seperti sokongan kesihatan mental melalui inisiatif seperti Talian HEAL (Bantuan Krisis Kesihatan Mental) yang menyediakan bantuan penting kepada mereka yang memerlukan. 

“Kerajaan sedang memerangi ancaman penipuan dalam talian yang semakin meningkat apabila orang ramai menghabiskan lebih banyak masa dalam ruang digital.

“Usaha ini sebahagian daripada komitmen kerajaan bagi memastikan penggunaan teknologi dimanfaat secara bertanggungjawab dan  menjadikan negara kekal kuat dan berdaya tahan menghadapi cabaran,” katanya. 

Sementara itu, kata Ahmad Zahid, Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian yang dijangka dibentang di Dewan Rakyat, Oktober ini bersifat menyeluruh dan mengambil kira jenayah siber yang mungkin berlaku pada masa hadapan. 

Katanya, akta baharu itu digubal demi kepentingan masyarakat terutama kanak-kanak yang menggunakan internet sebagai saluran komunikasi harian. 

“Kerajaan sangat prihatin terhadap mangsa buli, penipuan dan tentunya akta ini akan melihat beberapa aspek jenayah yang mungkin tidak berlaku sekarang, tetapi mungkin dalam beberapa tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya