ALOR SETAR: Kanak-kanak berusia dua tahun meninggal dunia disyaki lemas setelah terjatuh dalam longkang dalam kejadian banjir di Lorong Seri, di sini semalam.
Difahamkan mangsa, Noraisyah Misha Afifah Abdul Fatah keluar bermain bersendirian di luar rumahnya di kawasan berkenaan kira-kira pukul 3 petang.
Menurut datuk mangsa, Mohd. Hamidan Hashim, 38, kejadian tersebut tidak disedari oleh ibunya, Siti Nurfarhana, 18, yang ketika itu berada di dalam rumah.
“Saya difahamkan sebelum kejadian anak dan cucu saya sedang tidur. Bila Siti Nurfarhana sedar anaknya sudah tidak ada di sebelahnya ketika itu mungkin dalam pukul 3 petang.
“Anak kemudian minta orang-orang kampung mencari setelah cucu tidak ada dalam rumah. Saya cuma diberitahu dalam pukul 6 petang dan bergegas ke rumah mereka. Lama kami mencari di kawasan sekeliling tak jumpa.
“Hanya pukul 8.30 malam baru mayat cucu saya timbul,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Menceritakan saat-saat mencemaskan itu, kata Mohd. Hamidan, kawasan rumah anaknya itu dinaiki air sejak banjir berlaku pada Isnin lepas.
“Terdapat longkang dekat dengan rumah dan ada terowong kira-kira lima meter. Apabila air naik longkang itu memang tak nampak. Saya syak cucu jatuh longkang dan dibawa arus masuk ke dalam terowong itu.
“Berderau darah saya bila nampak mayat cucu yang mulanya saya anggap anak patung. Macam nak pengsan sahaja. Saya sendiri turun dan angkat dia ke atas dan sudah tidak bernyawa. Waktu itu sudah pukul 8.30 malam. Kami sekeluarga reda,” katanya.
Tambahnya, cucunya itu tidak menunjukkan apa-apa tanda namun menjadi pendiam dan tidak ceria sejak semalam.
Sementara itu, pihak polis difahamkan akan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian tersebut. – UTUSAN