Buaya Tasik Seksyen 7 masuk perangkap - Utusan Malaysia

Buaya Tasik Seksyen 7 masuk perangkap

Buaya Tasik Sesksyen 7
PASUKAN petugas Perhilitan Selangor membawa perangkap buaya keluar selepas reptilia yang diburu dekat Tasik Seksyen 7 itu memasukinya pada pukul 10.20 malam tadi di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Umpan ayam segar dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor di Taman Tasik Seksyen 7 di sini, selama 12 jam berjaya menjerat seekor buaya tembaga yang diburu sejak Isnin lalu.

Reptilia jantan sepanjang 1.68 meter dengan anggaran berat 15 ke 20 kilogram (kg) itu ditangkap selepas memasuki perangkap terapung, kira-kira pukul 10.20 malam tadi yang dipantau sepasukan 20 petugas Perhilitan Selangor.

Pengarah Perhilitan Selangor, Wan Mohd. Adib Wan Mohd. Yusoh berkata, pihaknya menyedari perkara itu selepas melihat dua daripada tiga umpan ayam di dalam perangkap berkenaan sudah tiada.

“Operasi itu berjalan lancar biarpun memakan masa berikutan reptilia itu cuba bertindak agresif ketika berada dalam perangkap berkenaan.

“Faktor utama kejayaan itu susulan kajian perilaku dan pergerakan buaya berkenaan selain tindakan penutupan kawasan taman pada waktu malam bagi mengurangkan gangguan serta ancaman,” katanya ketika ditemui di lokasi itu, malam tadi.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati pasukan Perhilitan Selangor dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan polis mengawal ketat kawasan itu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku kepada orang awam yang turut menyaksikan penemuan buaya tersebut.

Jelas Wan Mohd. Adib, operasi menyelamat buaya itu disifatkan paling singkat dilakukan pihaknya setakat ini iaitu dalam tempoh kurang 24 jam.

“Kita memasang dua perangkap di lokasi berasingan bermula pukul 10 pagi tadi (semalam) dan bersyukur dapat menyelamatkan reptilia bersaiz sederhana itu.

“Buaya itu dipindahkan ke Paya Indah Wetlands, Dengkil bagi pemeriksaan lanjut dan memastikan ia tidak membawa sebarang penyakit,” ujarnya.

Dalam pada itu, belau memaklumkan pihaknya masih menyiasat punca kemunculan buaya berkenaan di kawasan rekreasi tersebut dan tidak menolak kemungkinan sama ada ia sesat atau dibuang oleh pihak tertentu.

“Tasik itu mempunyai beberapa laluan saliran yang mungkin dimasuki buaya itu ketika hujan lebat atau banjir kilat. Selain itu, ia juga mungkin dibuang ke dalam oleh pihak tertentu. Namun, perkara itu masih dalam siasatan,” katanya.

Terdahulu, kehadiran buaya itu tular selepas dilihat berada di tebing tasik berkenaan yang menjadi kawasan rekreasi dan riadah penduduk setempat.

Semalam, Perhilitan Selangor berjaya merakam imej reptilia itu yang didapati timbul di permukaan air di kawasan tengah lokaliti berkenaan selama lebih seminit, kira-kira pukul 5 petang.

Pada 2019 lalu, penduduk Shah Alam turut digemparkan dengan kehadiran seekor anak buaya tembaga di Tasik Shah Alam, Seksyen 14 di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN