Buaya tasik: MBSA pantau Tasik Seksyen 7 - Utusan Malaysia

Buaya tasik: MBSA pantau Tasik Seksyen 7

Buaya Tasik Seksyen 7
TANGKAP layar daripada video tular yang memaparkan seekor buaya dengan panjang lebih satu meter kelihatan berada dekat tebing Tasik Seksyen 7, di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Orang ramai dinasihatkan tidak mendekati gigi air di Tasik Seksyen 7 selepas terdapat seekor buaya dilaporkan berada di dalamnya susulan makluman daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Selangor.

Pengarah Korporat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Azhar Sharif berkata, pihak penguat kuasanya kini memasang pita keselamatan di sekitar tasik tersebut bagi melindungi orang ramai daripada sebarang perkara tidak diingini.

Menurutnya, Perhilitan turut membuat pemantauan di kawasan rekreasi tersebut sejak semalam.

“Sebelum sebarang arahan penutupan rasmi diumumkan oleh pihak MBSA, orang ramai dinasihatkan menjauhi kawasan gigi air. Pita keselamatan pun sudah dipasang di kawasan tebing tasik.

“Hari ini Jabatan Kesihatan Persekitaran MBSA dan pihak Perhilitan sekali lagi memantau kawasan ini dan sememangnya ada buaya di sini. Mungkin buaya tersebut sesat semasa hujan lebat dan banjir kilat baru-baru ini,” katanya, hari ini.

Buaya tasik

Semalam, tular klip video di media sosial yang memaparkan kehadiran buaya yang didakwa berada di kawasan tebing Tasik Seksyen 7 di sini.

Azhar berkata, pihak Jabatan Perhilitan akan mengambil tindakan memasang umpan untuk menangkap buaya yang dianggarkan berukuran panjang lebih 1 meter.

Jelasnya lagi, arahan rasmi penutupan tasik tersebut akan dibuat oleh pihak Datuk Bandar hari ini.

“Sebelum ini memang ada kes buaya sesat di sini dan saya nasihatkan orang ramai dinasihatkan untuk tidak mendekati kawasan berair di sini dan tidak melakukan aktiviti hingga boleh mengancam nyawa mereka,”ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN