BRICS beri manfaat bukan hanya Malaysia tetapi  dunia

BRICS beri manfaat bukan hanya Malaysia tetapi  dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kewujudan organisasi antara kerajaan, BRICS bukan sahaja memberi pelbagai manfaat dan limpahan kepada Malaysia, tetapi kepada kumpulan negara Global South dan dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dengan kehadiran BRICS dapat memberi ruang kepada Malaysia untuk berkongsi manfaat memandangkan negara menjadi hab semikonduktor di rantau ini.

Katanya, kumpulan itu yang terdiri pelbagai negara antaranya Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan dapat memastikan hubungan perdagangan yang adil selain  mewujudkan struktur kewangan antarabangsa tidak dimonopoli satu pihak.

“Ada bidang yang boleh kita berkongsi, banyak bidang lain kita boleh. Tetapi kami melihat BRICS memberi peluang kepada kami untuk memanfaatkan di samping memastikan amalan perdagangan saksama, struktur kewangan antarabangsa tidak dimonopoli oleh satu negara dan satu rantau.

“Kepentingannya bukan sahaja memberi manfaat kepada Malaysia sahaja, tetapi Global South serta umumnya kepada seluruh dunia,” kata beliau ketika sesi Plenari Forum Ekonomi Timur Ke-9 (EEF 2024) di Vladivostok, Russia hari ini yang juga disertai Presiden Vladimir Putin.

Anwar ditanya oleh moderator berkenaan hasrat Malaysia menyertai BRICS setelah negara dilaporkan sudah menghantar surat permohonan untuk menyertai blok kumpulan itu.

Terdahulu, Anwar dalam ucapan berkata, kebangkitan kumpulan negara Global South bukan sahaja menggambarkan anjakan dalam kuasa ekonomi sedia ada tetapi juga merupakan satu konfigurasi atau penetapan semula pengaruh terhadap dunia.

Katanya, dengan kedudukan geografi merentasi benua Asia, Afrika dan Amerika Latin, Global South berada di atas trajektori yang tepat untuk memainkan peranan penting dalam membentuk semula masa depan ekonomi dunia.

Katanya lagi, Malaysia ingin menekankan kepentingan untuk negara-negara Global South membina hubungan yang lebih erat, berkongsi pertumbuhan serta menyumbang ke arah perintah dunia (global order) yang lebih seimbang.

“Seperti mana Rusia, kami juga melihat potensi dalam ekonomi negara-negara membangun ini, dan kami komited untuk mewujudkan perkongsian yang boleh memacu kemakmuran bersama.

“Atas sebab itu, Malaysia sedang melihat peluang secara aktif dalam kalangan Global South dan menyertai rakan-rakan yang ingin mewujudkan paradigma pembangunan yang baharu yang lebih inklusif, berekuiti, mampan dan berdaya tahan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Russia boleh memanfaatkan kekuatan Malaysia sebagai peneraju global dalam kewangan Islam.

Katanya, kewangan Islam adalah bidang yang sesuai untuk kerjasama bagi kedua-dua negara itu kerana Malaysia memiliki ekosistem institusi teguh yang bukan sahaja mematuhi Prinsip Syariah tetapi juga memacu inovasi dalam instrumen kewangan.

“Russia dengan populasi Islam yang ramai, mempunyai potensi besar dalam kewangan Islam, dan saya percaya pengenalan perbankan Islam di Russia akan dapat memudahkan projek bersama dan menarik pelaburan besar daripada negara dengan majoriti penduduk Islam,” katanya.

Sementara itu, Anwar dalam sidang media berkata, Malaysia dan Russia sepakat menuntut supaya Israel menghentikan serangan ganas dan zalim ke atas Gaza dengan segera.

Katanya, beliau dan Putin bersetuju masyarakat antarabangsa mesti meningkatkan tekanan untuk menamatkan kempen pembunuhan beramai-ramai oleh Israel di Gaza.

Pada masa sama, Anwar berkata Malaysia menghormati langkah-langkah yang dilakukan Mesir untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan, makanan dan perubatan di Gaza.

Katanya, Israel sering bersikap cuba menyalahkan seluruh dunia yang tidak menyebelahi tindakannya, dan yang terbaharu ialah Mesir.

“Sebaik Mesir tekankan kepentingan bantuan kemanusiaan, itu yang cuba dihalang Israel. Sekarang digunakan dalil baharu, satu dunia salah, sekarang cuba letakkan kesalahan kepada Mesir.

“Semua orang tahu Mesir sangat teliti untuk tidak dilihat melakukan provokasi, sehingga ada yang melahirkan perasaan kurang senang terhadap Mesir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya