PETALING JAYA: Jemputan Russia kepada Malaysia untuk menyertai persidangan BRICS yang berlangsung di Kazan, republik itu pada 22 hingga 24 Oktober ini bakal memberi manfaat ekonomi dan perdagangan kepada negara ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, situasi itu dilihat berpotensi untuk meningkatkan jumlah pelancong Russia ke Malaysia selain meningkatkan hubungan pelbagai hala dengan negara-negara BRICS lain seperti China, India dan Brazil.
“Sekiranya kita dapat meningkatkan hubungan perdagangan dua hala atau pelbagai hala, ia akan membawa keuntungan besar bagi Malaysia.
“Tambahan pula, negara-negara ini boleh menawarkan peluang ekonomi yang baik kepada Malaysia,” kata beliau pada Majlis Ulangtahun Asia News Network ke-25, di Hotel Hilton, di sini hari ini.
Semalam, akhbar ini melaporkan, Malaysia bakal menyertai persidangan BRICS yang akan berlangsung di Kazan bermula 22 hingga 24 Oktober ini.
Jemputan tersebut dikongsi di media sosial oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberitahu jemputan itu dibuat secara peribadi oleh Presiden Russia, Vladimir Putin.
Bukan itu sahaja, Malaysia antara negara yang diberi keutamaan untuk menyertai BRICS dengan segera atau bermula sebagai rakan negara blok itu.- UTUSAN