KANADA: Penampilan terbaru pelakon Hollywood asal Malaysia, Henry Golding semasa menghadiri Festival Filem Antarabangsa Toronto pada Sabtu mencuri perhatian ramai.
Henry yang hadir bagi mempromosikan naskhah terbarunya Daniela Forever dilihat berimej botak, berjambang dalam busana berwarna putih ketika acara karpet merah.
Penampilan pelakon Crazy Rich Asian itu menimbulkan kegusaran peminat dalam ruangan komen yang rata-rata beranggapan selebriti berusia 37 tahun itu kelihatan lebih berusia.
Malah ada yang tertanya-tanya adalah imej tersebut sebahagian daripada projek lakonan terbaharu bertemakan perang yang sedang dijalaninya secara rahsia.
“Dia kelihatan lebih berusia, adakah cuaca di Kanada tidak sesuai dengan orang Asia?” tulis satu komen.
“Apa yang terjadi kepadanya, adakah kalau dia bercukur wajahnya akan kembali kelihatan muda?” tanya satu peminat.
“Nampak seperti bukan Henry Golding,” kata peminat yang lain.
Bagaimanapun, ada yang beranggapan gayanya itu sangat bersesuaian untuk seorang lelaki yang sudah beristeri dan mempunyai dua orang anak.
“Sesuai sahaja Henry dalam potongan rambut seperti ini,” kata satu komen.
“Aura seorang ayah,” tulis seorang peminat.
Tahun lalu, Henry pernah tersenarai dalam kelompok 10 lelaki terkacak di dunia berdasarkan satu kajian saintifik kuno, Golden Ratio of Beauty Phi yang digunakan di zaman Greek Kuno.
Berdasarkan kepada kaedah pemetaan wajah, doktor bedah kosmetik, Dr Julian De Silva menyifatkan Henry memiliki bentuk dagu dan jarak mata yang unik.
Turut berada dalam kelompok lelaki kacak itu ialah bintang antarabangsa seperti Regé-Jean Page, Chris Hemsworth, Michael B Jordan dan Harry Styles. -UTUSAN