BESUT: Sebuah bot pelancong ditahan selepas didapati membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan di perairan Kuala Besut di sini, hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu Kepten Maritim Mohd. Khairulanuar Abdul Majid berkata, bot terbabit ditahan di kedudukan 28 batu nautika Barat dari Kuala Besut di sini, kira-kira pukul 12 tengah hari.
“Bot penumpang tersebut ditahan dan diperiksa oleh bot peronda Maritim Malaysia dan didapati membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan pihak Jabatan Laut Malaysia.
“Hasil pemeriksaan juga mendapati di dalam lesen bot berkenaan hanya boleh membawa 12 penumpang, namun ketika ditahan ia membawa seramai 31 orang termasuk penumpang dan kru bot,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd. Khairulanuar memberitahu, tindakan itu diambil setelah mendapati juragan dan kru warga tempatan bot terbabit melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Menurutnya, bot tersebut telah dibawa masuk ke jeti Maritim Negeri Terengganu untuk tindakan selanjutnya.
“Tindakan pengusaha bot yang tidak mematuhi peraturan itu membahayakan penumpang khususnya ketika cuaca tidak menentu dan keadaan laut bergelora,” ujarnya. – UTUSAN