Bina pusat proses najis ternakan atasi pencemaran Sungai Kereh

Bina pusat proses najis ternakan atasi pencemaran Sungai Kereh

SUNDARAJOO (dua dari kiri) ketika melawat ladang ternakan babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR : Kerajaan negeri dijangka mengadakan perbincangan dalam masa terdekat mengenai cadangan pembinaan pusat pemprosesan najis ternakan di Kampung Selamat, di sini bagi mengatasi masalah pencemaran Sungai Kereh yang berpunca daripada sisa penternakan babi.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S. Sundarajoo berkata, pembinaan pusat pemprosesan najis ternakan itu perlu disegerakan susulan kebimbangan penduduk yang semakin meningkat.

Katanya, beliau menerima banyak aduan daripada penduduk setempat yang mahukan isu itu segera ditangani selain turut menjadi topik popular yang dibahaskan semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lalu.

“Kita percaya bahawa pusat pemprosesan najis ternakan ini bukan sahaja dapat mengatasi masalah pencemaran, malah, sisa yang dilepaskan dapat diproses menjadi gas sekali gus membekalkan tenaga elektrik yang dapat menjana ekonomi.

“Pembinaan pusat pemprosesan najis ternakan ini pastinya akan mengelakkan sisa-sisa pembuangan najis daripada disalurkan terus ke sungai.

“Justeru, kita akan bawa cadangan ini ke dalam mesyuarat Exco terlebih dahulu pada minggu ini, kemudian akan bincang hala tuju dengan semua jabatan berkaitan,” katanya selepas meninjau ladang ternakan dan penyembelihan babi sebelum ke lokasi pencemaran Sungai Kereh, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Norazizi Adinan dan Ketua Bahagian Regulatori Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) negeri, Dr. Tishrin Muhammad Ismail.

Dalam pada itu, Dr. Tishrin berkata, penternak perlu mematuhi paiwaian minimum dan menggunakan kolam penapisan untuk membersihkan sisa sebelum dilepaskan.

“Semua penternak ternyata memberi sokongan penuh dan ternanti-nantikan pembinaan pusat pemprosesan najis ternakan ini. Mereka turut telah menandatangani persetujuan untuk pembinaan sistem ini dalam usaha menyelesaikan isu (pencemaran) yang berlaku,” katanya.

Untuk rekod, terdapat 130,000 ekor babi di 61 ladang ternakan di Kampung Selamat yang telah beroperasi lebih 40 tahun lalu.

Media pada 2021 melaporkan, Kajian saintifik sebuah makmal bebas mendedahkan pencemaran Sungai Kereh yang berlarutan sejak 40 tahun lalu berpunca daripada pelepasan najis babi dari Kampung Selamat di sini.

Analisis kualiti air di sungai itu dilakukan makmal bebas hasil inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (LEKAS) dan Badan Bertindak Bantah Pencemaran Sungai Kereh.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN