Biaya konsert sendiri, anugerah bukan jalan pintas dapat penaja - Utusan Malaysia

Biaya konsert sendiri, anugerah bukan jalan pintas dapat penaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Aina Abdul, berpendapat memenangi banyak anugerah bukanlah penentu mudah mendapatkan tajaan konsert.

Dedah Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani, 31, dia terpaksa menanggung kos perbelanjaan sendiri kerana sukar mendapat tajaan.

“Saya tidak menganggap bahawa anugerah yang diterima selama ini memberi jaminan atau jalan mudah untuk saya melakukan sesuatu dalam karier.

“Saya masih lagi baharu di dalam industri hiburan ini. Saya tidak berani untuk bercakap saya mudah mendapat penaja selepas memenangi beberapa anugerah.

“Kalau perkara itu benar-benar berlaku, saya sangat gembira dan bersyukurlah,” katanya.

Aina ditemui ketika sidang media pelancaran siri konsert, Aina Abdul Imaji Tour di Imperial Lexis Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, penyanyi lagu Sumpah ini turut mendedahkan, dia hampir berputus asa untuk mengadakan konsert kerana syarat yang dikenakan penaja tidak selari dengan dirinya.

“Sebenarnya saya hampir menyerah. April lalu, saya berbincang dengan pasukan rasanya malas untuk menganjurkan jelajah ini kerana takut dikecewakan lagi.

“Namun saya ada sokongan yang sangat kuat daripada pasukan yang suka melihat saya buat persembahan.

“Sejujurnya saya penat menunggu sebuah syarikat yang boleh membantu saya. Konsert ini harus diadakan tahun ini juga kerana tahun hadapan saya akan mempromosikan album yang lain pula,” ujarnya.

Aina bagaimanapun tidak mengundur diri dan mengambil langkah membiayai perbelanjaan konsert jelajah itu walaupun menelan bajet sebanyak ratusan ribu.

“Walaupun banyak penolakan yang kami terima untuk menganjurkan konsert jelajah ini, itu tidak menjadi pengukur sama ada saya boleh meneruskan niat untuk membuat konsert atau tidak.

“Saya bincang bersama pasukan, tak kisahlah kalau tak dapat buat di banyak lokasi, janji bagi saya buat persembahan biar saya menyanyi.

“Untuk menganjurkan konsert memerlukan kos, jadi saya keluarkan bajet sendiri sahaja. Konsert-konsert sebelum ini semuanya atas bajet sendiri juga dan kini sekali lagi kami melakukannya,” katanya lagi.

Perkembangan, Aina bakal mengadakan siri konsert jelajah, Aina Abdul Imaji Tour di tiga lokasi iaitu Kuala Lumpur, Kedah dan Sarawak bermula Disember hingga Januari tahun hadapan.

Konsert itu bakal berlangsung di Universiti Malaysia Sarawak pada 14 Disember, Zepp Kuala Lumpur pada 27 Disember dan Universiti Utara Malaysia 11 Januari tahun hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya