PETALING JAYA: “Betul dia ada balik tadi. Alhamdulillah, Allah buka pintu hati dia untuk balik jumpa kami.”
Demikian kata pengarah dan penerbit, Datuk Yusof Haslam kepada Utusan Malaysia yang mengesahkan gambar dikongsikan oleh isterinya, Datin Patimah Ismail mengenai kepulangan anaknya, Syamsul Yusof adalah benar.
Menurut Yusof, dia bersyukur apabila Syamsul akhirnya terbuka hati untuk pulang ke pangkuan mereka setelah sekian lama menanti.
“Alhamdulillah, doa saya sudah termakbul. Kita doakan yang baik-baik. Gambar itu betul, saya tak sangka Datin muat naik gambar itu. Ingat dia bergambar saja-saja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ditanyakan mengenai reaksi pertamanya selepas bertemu dengan Syamsul, Yusof mengakui tidak mahu menahan sebak kerana terlalu rindu sosok tubuh anaknya itu.
Tambahnya, mereka sebulat suara untuk melupakan kisah lama yang berlaku dan membuka lembaran baharu bersama pengarah filem Mat Kilau itu.
“Dia datang peluk dengan saya. Saya pun sebak dan menangis bersama datin. Dia juga minta maaf dan ingin lupakan segala yang berlaku. Yang lepas, biarlah lepas.
“Saya juga bagitahu dia yang kami rindukan dia. Macam mana pun dia tetap anak kami. Kita di usia begini saya tak mahu ada krisis rumah tangga. Kami juga tidak mahu cerita perkara yang lepas,” jelasnya.
Sementara itu, Yusof berkongsi kepulangan anaknya itu adalah keputusannya sendiri dan tidak didesak oleh sesiapa.
Namun, dia berharap agar penyatuan ini dapat mengeratkan lagi hubungan mereka sekeluarga seperti sebelumnya.
“Kami tak pujuk pun dia untuk pulang. Dia balik sendiri. Kami hanya berdoa. Perkara itu pun sudah bertahun, sebelum ini saya pun dah reda dan berserah pada takdir.
“Kita sebagai orang tua yang sudah di penghujung usia, mahu semuanya berbaik dan berdamai terutamanya hubungan keluarga itu penting, anak beranak dan adik beradik. Alhamdulillah saya bersyukur sangat,” katanya.
Yusof bagaimanapun berharap agar Syamsul dapat mengharungi dugaan hidupnya dengan tabah dan tenang.
“Harapan saya supaya apa yang berlaku ada hikmah dia. Saya sebagai orang tua saya doakan yang terbaik untuk dia. Saya cakap pada dia apa yang berlaku itu adalah ujian kehidupan. Kita lalui dengan tenang dan kembali ke pangkal jalan,” ujarnya.
Sebelum ini, Datin Patimah telah mengejutkan ramai pihak selepas berkongsi fotonya bersama Syamsul yang dipercayai sudah kembali ke pangkuan mereka.
Malah, ibu kepada pengarah itu turut berkongsi foto bersama bekas isteri anaknya, Puteri Sarah Liyana bersama anak mereka, Sumayyah. -UTUSAN