PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan terus memperjuang nasib Presidennya, Tan Sri Datuk Muhyiddin Yassin berhubung keputusan Mahkamah Rayuan menolak permohonan bagi menyemak semula keputusan yang mengembalikan empat pertuduhan salah guna kuasa terhadapnya.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keputusan mahkamah hari ini mengecewakan dan parti itu akan terus membela nasib Presiden menerusi lantikan guamannya.
“Kita akan berbincang dan menyerahkan kepada kebijaksanaan barisan peguam untuk langkah perundangan seterusnya.
“Perjuangan kita tidak akan sesekali terhenti dengan pendakwaan politik ini, sebaliknya ia memperkukuhkan lagi solidariti dan tekad kita bagi menentang segala kezaliman.
“Bersatu berdiri teguh bersama Tan Sri Muhyiddin Md. Yassin dan sesungguhnya yakin Allah SWT akan membantu mereka yang dizalimi,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Muhyiddin bagi menyemak semula keputusan yang mengembalikan empat pertuduhan salah guna kuasa terhadapnya.
Panel lima hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Azizah Nawawi sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati mahkamah-mahkamah terdahulu mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonan Muhyiddin.
“Kami mendapati permohonan responden (pendakwaan) untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengetepikan empat pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 50(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964. Panel Mahkamah Rayuan terdahulu juga mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan rayuan itu.
“Oleh itu, permohonan semakan adalah ditolak,” kata Azizah.- UTUSAN