SERDANG: Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) mempamerkan inovasi canggih bagi memperkasakan sektor pertanian sekali gus menarik ramai golongan belia untuk meminati sektor tersebut.
BERNAS dalam satu kenyataan berkata, objektif utama BERNAS adalah mendidik pengunjung, delegasi, serta pihak berkepentingan tentang kepentingan keselamatan makanan dan peranan industri padi dalam memastikan kestabilan bekalan beras negara.
Menurut BERNAS, pihaknya juga berhasrat menarik lebih ramai belia, memandangkan mereka penting untuk pertumbuhan dan masa depan sektor ini.
“Antara ciri utama yang menarik perhatian adalah Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang meliputi lebih 1,881 hektar di 10 negeri seluruh Malaysia.
“Inisiatif ini memperkasakan petani dengan teknologi mekanisasi yang canggih sekaligus menyerlahkan kemajuan industri pertanian Malaysia dan kepimpinan BERNAS selaku syarikat peneraju di dalam memacu program ini untuk maju ke hadapan,” katanya di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di MAEPS semalam.
MAHA 2024 yang merupakan penganjuran kali ke-100 membawa tema ‘Menuai Harapan, Membina Masa Hadapan’ merupakan pameran pertanian utama dan terbesar di Asia Tenggara yang menyediakan lebih 2,000 ruang jualan dibuka mulai pukul 10 pagi hingga 10 malam sehingga 22 September ini.
Kerjasama BERNAS di pameran pertanian terulung Asia Tenggara ini membuktikan dedikasinya untuk memajukan industri padi dan beras serta meningkatkan kesedaran awam akan kepentingannya, sebagai sebahagian daripada komitmen berterusannya untuk menjamin sekuriti makanan negara.
Tambah BERNAS, selain pameran yang bersifat pendidikan, pelbagai aktiviti dan peraduan menarik turut disediakan untuk pengunjung bagi menawarkan perspektif unik tentang impak BERNAS terhadap industri padi.
“Antaranya pertandingan Teka Berat Beras, pameran istimewa Padi Pulut dari Langkawi yang terletak di Laman Padi dan aktiviti ‘Dari Dapur BERNAS’ iaitu demonstrasi memasak Nasi Goreng Dabai eksklusif oleh Pengerusi BERNAS dengan kerjasama Kedey Kamek,” ujarnya. – UTUSAN