Bermuafakat, berbincang dengan baik mudahkan urusan negeri-Pusat - Anwar

Bermuafakat, berbincang dengan baik mudahkan urusan negeri-Pusat – Anwar

ANWAR Ibrahim (empat kiri), Hajiji Noor (tiga kiri) dan Abang Johari Tun Openg (dua kiri) menyaksikan upacara simbolik memotong kek oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin (tengah) di Padang Merdeka, Kota Kinabalu malam ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai pimpinan Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak yang mengeluh dan menuntut hak-hak negeri di bawah semangat persahabatan.

Beliau berkata, biarpun kedua-dua pemimpin itu mengeluh dan menuntut tetapi dalam semangat persahabatan untuk menjayakan negara Malaysia.

“Saya bernasib baik sebaik menjawat jawatan Perdana Menteri, dua sahabat yang saya letakkan keyakinan penuh iaitu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg bermuafakat membicara dengan terang dan tegur dengan baik sebagai sahabat.

“Jadi, saya harap pemimpin-pemimpin lain belajar dari semangat yang mereka tunjukkan. Tidak benar jika dikatakan mereka tidak menuntut, tidak mengeluh atau memohon sepertimana juga saya. Saya meminta dan memohon daripada mereka tapi semangat perpaduan jayakan Malaysia itu tetap ada,” kata beliau semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia di sini malam tadi.

Menurut beliau ,sekiranya ada muafakat dan perbincangan yang baik, ia akan memudahkan urusan kerja antara negeri dan Persekutuan.

“Sebab itu sebagai bapa, saya ingin menasihatkan kepada rakan-rakan bekerjalah sebagai satu pasukan, hindari fahaman-fahaman yang keterlaluan seperti kita dengar di Semenanjung, fahaman kaum keterlaluan sehingga menimbulkan kebencian dan musuh.

“Kalau dengar ceramah, tiada lain benci terus..tiada langsung rahmah dan kasih sayang sebab itu kena belajar dari sejarah penubuhan Malaysia, belajar dari bapa-bapa pejuang (kemerdekaan) sama ada di sini atau Sarawak.

“Mereka tidak terlalu canggih dalam perbicaraan mereka, tidak punya sijil berjela-jela tapi, mereka punya hati yang baik membentuk negara untuk anak-anak bangsa akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau tidak berhasrat untuk mengumumkan apa-apa projek istimewa pada malam ini kerana pengumuman telah dibuat pada minggu lalu.

Katanya, sebelum ini beliau sempat melawat Fakulti Perubatan Hospital Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang diunjurkan siap sebelum akhir tahun depan dan beliau telah mengumumkan penubuhan Pusat Jantung di Kota Kinabalu.

Beliau juga memberi jaminan untuk berusaha bertungkus lumus dalam menyelesaikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di bawah jawatankuasa yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Pada sambutan tersebut, Anwar bersama-sama Hajiji dan Abang Johari menandatangani Buku Khas sempena sambutan Hari Malaysia.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN