Berlatih di jalan tar, SMK Syed Ahmad unggul Kejohanan MSSPs

Berlatih di jalan tar, SMK Syed Ahmad tetap unggul

PEMAIN SMK Syed Ahmad yang menjuarai kejohanan bola tampar perempuan MSSPs 2024, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU : Berlatih hanya di atas jalan tar di kawasan letak kereta sekolah kerana tidak ada kemudahan padang tidak menghalang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Ahmad, Tambun Tulang, di sini cemerlang dalam bidang sukan sekali gus mengharumkan nama sekolah berkenaan.

Ketika atlet sekolah lain menjalani latihan dalam keadaan lebih selesa di padang, pelajar-pelajar sekolah berkenaan khususnya yang terlibat dengan sukan olahraga hanya berlatih di atas tar di kawasan letak kereta sekolah tersebut.

Kesungguhan atlet selain usaha dan komitmen berterusan guru-guru membimbing, berjaya membawa sekolah yang terletak di pinggir bandar itu muncul naib juara kejohanan olahraga Majlis Sukan Sekolah Perlis (MSSPs) 2024 baru-baru ini.

Dalam keadaan serba kekurangan, SMK Syed Ahmad juga pernah mencipta sensasi muncul juara kejohanan olahraga MSSPs selama dua tahun berturut-turut pada 2017 dan 2018.

SMK Syed Ahmad juga sebelum ini berjaya melahirkan atlet pekak dan bisu, Zaiman Megat Abu, 23, yang pernah mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas dalam acara lompat kijang pada Kejohanan Olahraga Pekak Asia-Pasifik di Tehran, Iran tahun lalu.

Zaiman Megat menjalani latihan lompat kijang dan lompat jauh dalam keadaan fasiliti serba kekurangan di bawah kendalian jurulatihnya, Sanusi Zainal Abidin di sekolah tersebut namun tidak menghalang remaja berkenaan menempa nama di pentas antarabangsa.

Selain olahraga, SMK Syed Ahmad juga berjaya muncul juara dalam kejohanan bola tampar wanita MSSPs 2024 baru-baru ini selain mengecapi kejayaan dalam beberapa lagi termasuk di pentas kebangsaan. Kejayaan SMK Syed Ahmad khususnya dalam bidang sukan itu wajar dipuji kerana tidak melihat kekurangan sebagai batu penghalang untuk mengecapi kejayaan.

Pengetua SMK Syed Ahmad, Ismail Md. Nor berkata, meskipun tiada kemudahan padang namun para pelajar menunjukkan kesungguhan untuk bersaing sehingga mengecapi kejayaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN