PETALING JAYA: Penyanyi, Ayda Jebat mengakui dirinya belum bersedia untuk kembali berlakon kerana mahu memberikan perhatian sepenuhnya membesarkan anak keduanya, Aali Mateen.
Menurut Ayda, dia mahu menikmati momen indah bersama putera kesayangannya itu sementara menginjak usia satu tahun yang padanya sangat berharga.
“Untuk sekarang berlakon, saya tidak mahu buat dahulu. Mungkin saya tunggu Aali boleh berjalan sebab dalam tahun pertama inilah kita nak tengok dia berjalan, mula makan dan sebagainya. Kira rugilah kalau saya terlepas momen itu. Itu momen yang tak boleh dibeli,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Ayda, dia juga tidak mahu mengambil risiko menerima sebarang tawaran buat masa kini kerana jadualnya sangat padat dengan ‘shooting’ beberapa projek yang sedia ada.
“Lagipun, jadual saya juga sangat padat dengan shooting untuk produk. Kalau shooting pagi ini, mungkin pagi esok baru balik.
“Saya juga dalam perancangan untuk buat jelajah untuk lagu Memerang ini di beberapa universiti. Mungkin dalam tahun depan,” jelasnya ketika ditemui di sidang media pelancaran video muzik Memerang di Genting Highlands, semalam.
Bagaimanapun, Ayda mengakui dia sering berasa serba salah kerana sudah beberapa kali menolak tawaran daripada beberapa produksi yang pernah bekerjasama dengannya.
“Kadang-kadang rasa bersalah juga tolak tawaran itu sebab saya kenal pengarah itu. Saya berterima kasih untuk peluang itu tapi untuk masa sekarang ini, saya belum bersedia untuk berlakon.
“Tengoklah nanti, kalau ada tawaran untuk berlakon filem, saya akan cuba. Sebab, saya pun dah lama tak buat filem,” katanya.
Untuk rekod, Ayda telah berkahwin dengan personaliti televisyen, Nabil Mahir pada 1 Januari 2021.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ana Nayla dan Aali Mateen. -UTUSAN