Berkhemah atas ban sungai depan rumah ketika banjir - Utusan Malaysia

Berkhemah atas ban sungai depan rumah ketika banjir

SITI Aminah Md. Isa di samping anak-anak dan cucunya berkelah di hadapan rumah mereka yang dinaiki air ketika ditemui di Kampung Padang Teja, Jitra Kubang Pasu. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Kebimbangan rumah dinaiki air sedikit berkurangan bagi seorang warga emas apabila dia berpeluang berkhemah bersama anak-anak dan cucunya di atas ban sungai berhadapan rumah mereka yang dilanda banjir.

Inisiatif mendirikan khemah itu juga didorong oleh faktor pusat pemindahan sementara (PPS) terdekat yang penuh serta kepulangan anak-anak yang kebetulan pulang bercuti di kampung.

Siti Aminah Md Isa, 71, yang tinggal di Kampung Padang Teja, Jitra berkata, rumahnya baru dinaiki air kelmarin, namun sempat mengalihkan sebahagian barangan yang penting ke tempat lebih tinggi dengan bantuan anak-anak dan cucu.

SITI Aminah Md. Isa berkhemah bersama ahli keluarganya ketika rumah dilanda banjir di Kampung Padang Teja, Jitra Kubang Pasu. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN

“Saya bukan tak mahu berpindah ke PPS tapi yang terdekat dengan rumah kami sudah penuh dan perlu ke PPS alternatif yang terletak agak jauh dari sini. Sekiranya ke sana ia akan menyukarkan kami memantau keadaan rumah selain risau berlaku kecurian barangan penting.

“Kebetulan pula dua anak balik dari Selangor dan Pulau Pinang, mereka yang sediakan semua kelengkapan berkhemah ini. Insya-Allah, kami selamat saja di sini, elektrik ada air paip ada, lagipun rumah saya air tak naik tinggi sangat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tambah Siti Aminah, itu adalah pengalaman pertamanya bermalam di dalam khemah dan walaupun agak janggal pada mulanya tetapi suasana bertukar gembira apabila ditemani cucu-cucunya.

“Jiran-jiran yang rumah tak dinaiki air pun beri kami tumpang tandas di rumah mereka. Namun jika keadaan bertambah buruk kami tidak akan mengambil risiko untuk terus berada di sini walaupun setiap tahun berdepan bencana ini,” ujarnya.

Sementara itu, menantunya, Kahar Kamarudin, 46, berkata, dia dan isterinya baru membeli peralatan berkhemah itu selepas melihat tanda-tanda air akan memasuki rumah ibu mentuanya yang tinggal berdua bersama adik iparnya.

“Nasib baik banjir berlaku ketika kami semua balik bercuti di kampung. Jadi boleh la sama-sama bina khemah di depan rumah ni.

“Sejak beberapa hari lepas memang hujan lebat lain macam, kami dah tak lena tidur sebab bimbang. Sebelum ni pun kalau hujan, air tak naik, tapi kali ini naik sama macam banjir besar 2010 dulu,” katanya.

Seorang lagi menantu Siti Aminah, Shahrulnizam Md. Saad, 50, aktiviti berkhemah walaupun ketika dilanda banjir itu secara tidak langsung menjadi pengisian cuti sekolah anak-anaknya.

“Kami tidak sempat berjalan ke mana-mana cuti sekolah kali ini, jadi dengan aktiviti ini anak-anak dan anak saudara saya gembira dapat berkhemah ramai-ramai bersama nenek mereka di kampung,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya