KUALA LUMPUR : Pelawak dan pelakon, Lan Pet Pet, 55, bersyukur keadaan kesihatannya semakin memuaskan meskipun sebelum ini pernah dimasukkan ke sebuah hospital.
Menurut Lan atau nama sebenarnya, Mazlan Ahmad, sebelum ini dia tidak mengetahui apa punca penyakit yang dialami sehingga menyebabkan dia terpaksa menarik diri daripada terlibat sama dalam persembahan kumpulan Senario di Melaka pada Ogos lalu.
“Awalnya saya pun tak tahu apa punca penyakit. Tetapi setelah ke hospital, doktor yang merawat beritahu yang terdapat beberapa saluran dalam badan tersumbat.
“Tetapi saya tak percaya dan nafikan yang saya ada sakit jantung.
“Saya beritahu doktor, bukan masalah jantung tetapi ada masalah lain. Mungkin saya terlupa makan atau perut masuk angin sebab itu saya sakit. Waktu makan yang tidak menentu.
“Saya tidak pernah alami kejadian begitu, itu pertama kali. Tidak juga menunjukkan sebarang simptom sebelum saya jatuh sakit,”katanya.
Lan ditemui pada sidang media pengumuman Malam Kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-36, yang berlangsung di ibu negara, baru-baru ini.
Bagaimanapun, kata Lan, dia juga bersyukur kerana berkat amalan dan keyakinannya sentiasa berzikir dengan nama Allah, keadaan kesihatannya semakin membaik.
“Sepanjang di hospital saya tidak henti zikir, alhamdulillah dapat keluar malam itu juga dan doktor terkejut saya boleh sambung kerja terus pergi ke sebuah konsert sempena Merdeka.
“Ahli Senario semua menangis lihat saya berada semula di konsert itu. Kami sudah macam adik beradik, apabila ada ahli yang sakit sudah pasti akan bersedih atau risau.
“Senario bertahan juga adalah kerana peminat yang sentiasa menyokong dari dahulu hingga kini,”ujarnya.
Dalam pada itu, Lan berkata, dia masih mengikuti nasihat doktor supaya membuat pemeriksaan lanjut di Institusi Jantung Negara.
Terdahulu, anggota Senario iaitu Saiful Apek memaklumkan Lan jatuh sakit pada hari persembahan mereka yang dijadualkan berlangsung pada malam 31 Ogos lalu. -UTUSAN