KANGAR: Seorang remaja mengambil keputusan untuk berhenti kerja demi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) supaya nasib keluarganya lebih terbela pada masa depan.
Suchanan Boon Aik, 22, dari Kampung Paya Sidang, Alor Setar, Kedah membuat keputusan itu walaupun pekerjaan sebagai juruteknik di Infineon selama setahun itu banyak membantu meringankan beban ibunya yang hanya seorang penoreh getah.
Suchanan berkata, bapanya meninggal dunia kerana diabetes tahun lalu, menyebabkan dia mengambil keputusan untuk bekerja selepas menamatkan pengajian diploma Elektronik di Politeknik Syed Sirajuddin (PTSS), Arau.
“Saya rasa bertanggungjawab untuk bekerja terlebih dahulu membantu meringankan beban ibu yang pendapatannya tidak menentu hasil daripada menoreh getah. Di samping itu, saya dapat menimba pengalaman yang sangat berharga dalam industri.
“Rakan-rakan yang tamat diploma sudah menyambung pengajian di Unimap menyebabkan saya tidak teragak-agak memilih Unimap sebagai pilihan pertama bagi mengikut jejak mereka pada kemasukan kali ini,” katanya ketika ditemui selepas dikunjungi Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli, bagi menyerahkan sendiri surat tawaran kemasukan ke universiti teknikal terkenal itu.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, pegawai-pegawai Jabatan Hal Ehwal Pelajar ( JHEP), dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Unimap, Ahmad Nabil Nazari.
Suchanan ditawar melanjutkan pengajian dalam Sarjana Muda Kejuruteraan Elekronik di Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik Unimap selama lapan semester.
Tambahnya, dia percaya dengan melanjutkan pengajian dia dapat membantu keluarganya pada masa hadapan memandangkan adiknya juga sedang menuntut di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka.
Sementara itu, Zaliman berkata, Unimap memahami kesukaran yang dihadapi Suchanan dan pihak universiti melalui Kementerian Pendidikan Tinggi menyediakan dana seperti bantuan awal pendidikan bagi memberi peluang kepada Suchanan serta pelajar baharu lain yang bakal mendaftar masuk ke Unimap.
“Antara bantuan yang akan diberikan ialah seperti Bantuan Awal Pendidikan EKUINAS Yayasan Pelajaran Mara, Bantuan CARE4U, bantuan yuran pengajian, Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG), serta bantuan Tabung Amanah Unimap yang diselaraskan JHEP Unimap.
“Sempena kemasukan pelajar baharu, Unimap juga menyediakan beberapa inisiatif bagi membantu keluarga pelajar baharu seperti menyediakan perkhidmatan pengangkutan percuma dari stesen-stesen bas, stesen KTM, lapangan terbang dan terminal jeti berhampiran selain pakej penginapan Rahmah kepada keluarga pelajar yang kurang berkemampuan,” katanya.
Tambah beliau, pihak kementerian dan universiti terbuka menerima pelajar sama ada orang kelainan upaya (OKU) mahupun golongan B40 tanpa mengira kaum bagi menyambung pengajian dengan diberi bantuan awal pendidikan selari dengan hasrat yang diumumkan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Terdahulu, Zambry sebelum ini mengarahkan semua pengurusan universiti menerima kemasukan pelajar miskin serta meminta pihak universiti menguruskan bantuan awal pengajian bagi mahasiswa tidak berkemampuan.-UTUSAN