KANGAR: Seorang remaja yang sudah lebih setahun mencari pendapatan bagi menyara kehidupan keluarga mengambil keputusan berhenti kerja bagi menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi di Universiti Malaysia Perlis (Unimap).
Suchanan Boon Aik, 22, dari Kampung Paya Sidang, Alor Setar, Kedah itu mengambil keputusan itu supaya nasib keluarganya lebih terbela pada masa depan.
Suchanan bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di Kulim sebelum ini dan pendapatan daripada pekerjaan berkenaan banyak membantu meringankan beban ibunya yang hanya merupakan seorang penoreh getah.
Kata anak kedua daripada tiga beradik itu, bapanya meninggal dunia kerana diabetes tahun lalu, menyebabkan dia mengambil keputusan untuk bekerja selepas menamatkan pengajian diploma Elektronik di Politeknik Syed Sirajuddin (PTSS), Arau.
“Saya rasa bertanggungjawab untuk bekerja terlebih dahulu bagi membantu meringankan beban ibu yang pendapatannya tidak menentu hasil daripada menoreh getah. Di samping itu, saya juga dapat menimba pengalaman yang sangat berharga dalam industri.
“Rakan-rakan yang tamat diploma sudah menyambung pengajian di Unimap menyebabkan saya tidak teragak-agak memilih Unimap sebagai pilihan pertama bagi mengikut jejak mereka pada kemasukan kali ini,” katanya ketika ditemui selepas dikunjungi Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli bagi menyerahkan sendiri surat tawaran kemasukan ke universiti tersebut semalam.
Suchanan ditawar melanjutkan pengajian dalam Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik di Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik Unimap selama lapan semester.
Tambahnya, dia percaya dengan melanjutkan pengajian, dia dapat membantu keluarganya pada masa hadapan memandangkan adiknya juga sedang menuntut di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka.
Sementara itu, Zaliman berkata, Unimap memahami kesukaran yang dihadapi Suchanan dan pihak universiti melalui Kementerian Pendidikan Tinggi menyediakan dana seperti bantuan awal pendidikan bagi memberi peluang kepada Suchanan serta pelajar baharu lain yang bakal mendaftar masuk ke Unimap.
“Antara bantuan yang akan diberikan ialah seperti bantuan awal pendidikan EKUINAS Yayasan Pelajaran Mara, Bantuan CARE4U, bantuan yuran pengajian, Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG), serta bantuan Tabung Amanah Unimap yang diselaraskan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) Unimap.
“Sempena kemasukan pelajar baharu, Unimap juga menyediakan beberapa inisiatif bagi membantu keluarga pelajar baharu seperti menyediakan perkhidmatan pengangkutan percuma dari stesen-stesen bas, stesen keretapi, lapangan terbang dan terminal jeti berhampiran selain pakej penginapan Rahmah kepada keluarga pelajar kurang berkemampuan,” katanya.- UTUSAN